Oleh Tuan Arjuna Beta |
GUA MUSANG: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) turut menyertai program Komuniti Berdaya Tahan bersama masyarakat Orang Asli di Pos Dakoh baru-baru ini.
KSKK PKINK menyertai program berkenaan yang dianjurkan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan dengan kerjasama pelbagai agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Raja Shamri dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).
Pengerusi Biro Dakwah dan Kebajikan KSKK PKINK, Muhd Thoriq Hasani Mahbub berkata, penyertaan badan tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan komuniti berdaya tahan serta bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan dan bencana.
"Program tersebut disertai 60 peserta yang terdiri daripada pegawai dan anggota APM Kelantan dan empat wakil daripada PKINK.
“Sebanyak 14 kenderaan pacuan empat roda digunakan bagi membawa anggota, logistik serta kelengkapan sepanjang misi ke Pos Dakoh,” katanya pada Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana Peringkat Negeri Kelantan 2026.
Perasmian program berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM TKPj. Bersekutu (PA) Dato' Ismail Mohd Zawawi.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi IPPA, Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab; Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan IPPA, Kol (PA) Effendy Haji Ali; Timbalan Pengarah APM Kelantan, Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak, dan Pengurus Kanan Perundangan dan Integriti Kumpulan PKINK, Mejar Bersekutu (PA) Mohd Roslan Mohd Zain.
Muhd Thoriq juga berkata, penubuhan Skuad Kampung Siaga 221 amat signifikan dalam melahirkan komuniti yang lebih peka, bersedia dan berupaya bertindak sebagai barisan hadapan sebelum bantuan daripada agensi penyelamat tiba.
Menurutnya juga kerjasama strategik antara PKINK dan APM wajar diperkukuh menerusi penganjuran lebih banyak program yang memberi pendedahan kepada anggota Kumpulan PKINK berkaitan aspek pengurusan bencana dan keselamatan awam.
“Program Kampung Siaga 221 dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta, menyemai semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap keselamatan komuniti,” ujarnya.
Peserta mengikuti pelbagai modul latihan termasuk pengenalan asas APM, teknik bantuan pernafasan kecemasan (CPR), bantuan kepada mangsa tercekik (choking), asas balutan kecemasan serta latihan kesiapsiagaan bencana.
Selain itu mencuba flying fox, pertandingan mewarna, solekan, acara tarik tali, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi penyediaan kit makanan kecemasan.
Sempena program berkenaan APM dan PKINK turut menyampaikan kit makanan kepada penduduk Kampung Pos Dakoh.







0 Comments