![]() |
| Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Syamimi Manah
SHAH ALAM, 28 Februari – Anak Kelantan di perantauan diseru agar menghayati Ramadan dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan demi mencapai keselamatan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.
Seruan itu disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ketika merasmikan Program Ihya' Ramadan Perdana Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan 1447H/2026 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.
Majlis anjuran Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Kelantan di Perantauan Malaysia (PERAKAN) itu disertai oleh anak-anak Kelantan yang menetap di sekitar Lembah Klang termasuklah mahasiswa dan mahasiswi di universiti berdekatan.
Menurutnya, Ramadan merupakan bulan yang amat istimewa kerana padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia.
“Rebutlah peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk menanam keazaman dan melipatgandakan amalan baik.
"Antara amalan utama yang perlu kita perbanyakkan ialah membaca al-Quran kerana Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran. Siapa yang mahukan keselamatan di dunia dan akhirat, hendaklah dia berpandukan al-Quran,” katanya.
Majlis berkenaan dimulakan dengan kupasan Teks Tadarus Al-Quran Kerajaan Negeri Kelantan siri ke-34, ayat surah Al-Anfal 24 hingga 28, oleh Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman.
![]() |
| YB Abdul Latiff Abdul Rahman |
Menteri Besar Kelantan turut mengingatkan bahawa kegagalan manusia menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup boleh menyebabkan hilangnya ketenangan jiwa, seterusnya menyumbang kepada pelbagai gejala negatif dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru agar umat Islam mendekatkan diri, keluarga serta anak-anak dengan al-Quran, bukan sekadar membacanya tetapi mentadabbur dan memahami isi kandungannya agar dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Kita jadikan Ramadan pada tahun ini lebih baik daripada Ramadan yang sebelumnya. Mulakan perubahan dengan diri kita, keluarga dan masyarakat, kemudian lebarkan ajaran Allah ke seluruh negara" ujarnya.




0 Comments