Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 16 Januari – Orang ramai diseru memanfaatkan perkhidmatan Kaunter U-KeKWA yang beroperasi di Urban Transformation Centre (UTC) Kelantan bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan bantuan kebajikan.
Terletak di Kaunter 10, Tingkat 2, Bahagian Agensi Kerajaan Negeri, kemudahan tersebut telah beroperasi sejak tahun 2016.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan YB Rohani Ibrahim berkata penubuhan kaunter berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkasakan kebajikan masyarakat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, YB Rohani Ibrahim |
“Orang ramai digalakkan mengunjungi kaunter ini bagi mendapatkan maklumat atau menyelesaikan urusan berkaitan kebajikan dan keperluan komuniti.
“Kaunter ini memberikan maklumat lengkap mengenai skim dan bantuan di bawah U-KeKWA, termasuk panduan khas untuk golongan OKU. Malah, petugas kaunter yang juga seorang OKU fizikal, merupakan lambang komitmen kami terhadap inklusiviti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kaunter U-KeKWA yang beroperasi pada Ahad hingga Khamis pukul 8:30 pagi hingga 4:30 petang itu menyediakan perkhidmatan menyalur informasi mengenai skim dan bantuan di bawah U-KeKWA, Khidmat berkaitan skim dan bantuan OKU, bantuan pendaftaran OKU dan borang untuk pelbagai aduan berkaitan OKU.
YB Rohani berharap dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, Kaunter U-KeKWA terus menjadi platform penting bagi memastikan bantuan kebajikan sampai kepada golongan yang memerlukan.
0 Comments