Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 16 Januari – Pusat Akuatik di Madinah As-Salam, salah satu venue utama bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028, akan dibina mengikut saiz dan piawaian Olimpik.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad berkata kompleks renang seluas lima ekar itu dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2027, dengan kerja-kerja tanah dan rawatan tanah kini telah selesai.
Projek itu juga telah mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia untuk pembinaan seterusnya.
“Kita sama-sama doakan agar impian rakyat Kelantan memiliki kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dapat direalisasikan,” ujar YB Zamakhshari menerusi catatan di laman media sosialnya, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek di Madinah As-Salam pada Rabu, diiringi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub Pengarah JKR Kelantan, Ir Nik Soh Yaacob; dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan Sabilly Mohd Ramli @ Annuar.
Sebagai rekod, Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA 2028, dengan pelbagai projek infrastruktur dan fasiliti sukan sedang giat dilaksanakan untuk memastikan persediaan negeri berada di tahap terbaik.
YB Zamakhshari berharap Pusat Akuatik Madinah As-Salam bakal menjadi mercu tanda baharu sukan di Kelantan dengan memenuhi keperluan atlet dan komuniti, sekali gus melonjakkan pembangunan sukan Kelantan ke peringkat antarabangsa.
0 Comments