Ticker

6/recent/ticker-posts

Kehadiran jentera berat rosak jalan kampung di laluan ECRL

 


SALMAH MAT HUSAIN

PASIR PUTEH: Kehadiran jentera berat di tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di beberapa kampung di Dun Gaal menyebabkan banyak jalan rosak.

Adun Gaal, Mohd Rodzi Ja’afar berkata, jalan-jalan tersebut merupakan laluan penting penduduk ke tempat kerja dan pelajar ke sekolah.

Katanya, kehadiran jentera berat di tapak pembinaan menyebabkan kampung berdebu di musim kemarau dan berselut ketika hujan.

“Masalah itu memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk. Ia perlu ditangani segera. Kita tidak mahu pembangunan menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya di sini.


Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan dengan China Communications Construction Company (CCC) dan Malaysia Rail Link (MRL) membincangkan isu berkenaan.

Sempena pertemuan tersebut turut diadakan lawatan ke beberapa tapak pembinaan khususnya jalan-jalan yang rosak.

Mohd Rodzi juga berkata, beberapa jalan didapati tidak selamat untuk digunakan dan perlu dibaiki segera.

Kata beliau wakil CCC dan MRL memberi komitmen untuk mempercepatkan proses pembaikan jalan-jalan yang rosak.

Selain itu katanya, laluan alternatif akan dinaik taraf bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.

“Pasukan khas ditubuhkan untuk memantau kerja-kerja pembaikan agar berjalan lancar dan berkualiti,” ujarnya. 



Beliau juga berharap pihak CCC dan MRL mengadakan perbincangan dengan penduduk bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani segera.

Projek ECRL dijangka menjadi nadi penghubung antara Pantai Timur dan Pantai Barat Malaysia apabila siap nanti.

Post a Comment

0 Comments