Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PERKENALKAN TIGA NILAI INSPIRASI TADBIR URUS UNTUK PEMBANGUNAN INKLUSIF

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 2 Januari – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan tadbir urus melalui pengenalan tiga Nilai Inspirasi Tadbir Urus; Tadbir Urus Berintegriti, Tadbir Urus Berwawasan, dan Tadbir Urus Berkualiti.

Langkah tersebut bertujuan memastikan keberhasilan pengurusan yang berterusan dan menyokong pembangunan negeri secara inklusif.

Katanya, ketiga-tiga nilai tadbir urus itu merupakan tonggak kekuatan yang membolehkan sesebuah kerajaan dapat memacu pentadbiran yang cemerlang sekali gus mampu menunaikan amanah yang digalas dengan sempurna.

Beliau turut memetik ilmu dan hikmah daripada pesanan mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Tok Guru Nik Aziz berkaitan “Ilmu secupak, hikmah mestilah segantang” yang bermaksud ilmu mesti beriringan dengan hikmah, bahkan hikmah hendaklah lebih banyak daripada ilmu.

Sehubungan itu, beliau menyeru penjawat awam negeri agar menggandakan usaha ke arah menjadikan Kelantan sebagai negeri contoh yang berdaya saing dan penuh keberkatan.

“Marilah kita menggandakan usaha dan memperkukuhkan azam untuk menjadikan Kelantan sebagai model negeri berdaya saing dan penuh keberkatan.

“Semoga tahun baharu ini membawa kekuatan dan rahmat kepada seluruh kepimpinan serta rakyat negeri ini,” katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2025 di hadapan lebih 1,000 penjawat awam yang memenuhi Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kota Darulnaim, hari ini.

Dato' Mohd Nassuruddin turut mengimbas inisiatif Strategi Lautan Hijau yang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2020 yang menekankan pembangunan mampan melalui integrasi nilai sosial, ekonomi, dan alam sekitar.

“Sebahagian besar Belanjawan 2025 disasarkan untuk menyokong pelaksanaan strategi ini, dengan tumpuan kepada pelestarian alam sekitar, pengurusan sumber air bersepadu, serta penyelesaian isu banjir dan bekalan air bersih.

“Pelaksanaan Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024 - 2028, yang merangkumi 89 mercu tanda, 117 bidang fokus, 337 strategi, dan 750 Pelan Tindakan, dijadikan penanda aras utama kepada semua jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri.

“Usaha berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) dengan objektif utama termasuk meningkatkan pertumbuhan KDNK negeri sekurang-kurangnya 6 peratus setiap tahun, meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran,” jelasnya.

Di samping usaha untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan mengoptimumkan hasil negeri serta menyelesaikan isu utama pembangunan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan.

"Kunci kejayaan kepada pembawaan yang dimasyhurkan ini terletak kepada elemen kebersamaan dan kesepaduan antara pimpinan kerajaan negeri dan seluruh jabatan serta agensi kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan.

"Inilah yang saya tegaskan semasa pertemuan dengan YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara dalam kunjung hormat ke pejabat saya, semalam. Hubungan yang baik dalam konteks federalisme adalah amat penting untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Tambahnya, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2025, kerajaan negeri turut memperkenalkan Sistem Pemantauan Prestasi dan Keberkesanan (i-SPARK) yang dibangunkan oleh Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. 

Sistem itu dijangka meningkatkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran melalui laporan kemajuan berkala.



Post a Comment

0 Comments