KOTA BHARU: Rakyat perlu meneliti kos tersembunyi yang mungkin ditanggung tanpa disedari, termasuk caj transaksi ketika menggunakan kod QR.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun caj bagi setiap transaksi kelihatan kecil, namun jumlah kutipan boleh menjadi besar apabila melibatkan ribuan pengguna menggunakan pembayaran digital setiap hari.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila rakyat menerima bantuan kewangan daripada kerajaan, dan pada masa sama menanggung kos tambahan melalui transaksi harian yang tidak begitu dirasai.
“Cuba bayangkan dalam sehari berapa ramai orang menggunakan kod QR? Berapa ribu transaksi berlaku. Walaupun cajnya kecil, apabila dikumpulkan daripada ramai pengguna, jumlahnya besar,” katanya ketika ditemui di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Kata beliau jangan hanya melihat jumlah bantuan dan peruntukan yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2027, dibentang Perdana Menteri Jumaat lepas.
Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata, berdasar pengamatan pihak yang arif dalam bidang berkenaan menunjukkan isu kos transaksi dan beban ekonomi rakyat begitu membimbangkan.
Katanya, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu turut memberi kesan kepada institusi kewangan dan syarikat, perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran serta risiko kerugian.
"Memang kalau kita perincikan Belanjawan 2027 menggambarkan belanjawan yang digula-gulakan untuk pilihan raya, sedangkan kewangan negara dalam situasi teruk.
“Mungkin belanjawan ni sekadar dibentangkan saja, tanpa sempat dilaksanakan kerana pilihan raya. Tetapi kita tengoklah seminggu dua ini kalau ada perubahan,” katanya.

0 Comments