Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 9 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) sebagai usaha melindungi kebajikan peniaga kecil, namun masih mempertimbangkan kajian lanjut sebelum menjadikannya syarat wajib bagi mendapatkan lesen penjaja.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata kerajaan negeri menggalakkan semua peniaga membuat caruman SKSPS bagi menjamin keselamatan dan kebajikan mereka yang beroperasi di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kerajaan Negeri Kelantan menyokong penuh skim ini. Ia penting untuk memastikan kebajikan peniaga terjamin, selaras dengan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan pekerja sendiri menyertai skim ini,” katanya menerusi catatan di media sosialnya, hari ini.
Namun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan SKSPS sebagai syarat wajib untuk lesen penjaja memerlukan kajian mendalam sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Sebelum ini, beliau menerima kunjungan hormat Pengarah PERKESO Negeri Kelantan Nora Yaacob bersama delegasinya di pejabat exco, Mabna, pada Rabu.
Pertemuan itu membincangkan cadangan menjadikan caruman SKSPS sebagai syarat wajib untuk peniaga kecil mendapatkan lesen PBT di Kelantan.
0 Comments