Ticker

6/recent/ticker-posts

MB KELANTAN SERAH BANTUAN KEPADA IDIP UNTUK PERKASAKAN DAKWAH SAUDARA BAHARU

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 9 Januari – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd. Nassuruddin Daud menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap usaha dakwah dengan menyampaikan cek bantuan kepada Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP).

Serahan sumbangan tersebut dilakukan sempena kunjungan hormat pihak pengurusan IDIP yang diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Dr. Ramle Abdullah bersama Pendaftar Mat Salleh Hasan ke pejabatnya di Mabna, pada Rabu.

Ustaz Dato' Mohd. Nassuruddin berkata sokongan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap institusi dakwah yang menjadi tunjang pembentukan ummah Rabbani.

"IDIP berperanan strategik sebagai institusi tarbiah tunggal di Malaysia yang memfokuskan pendidikan Islam kepada saudara baharu (mualaf) sambil melahirkan pendakwah berkualiti sejak lebih empat dekad.

“Mereka tidak hanya dibimbing dalam agama tetapi turut dilengkapi dengan kemahiran hidup holistik agar mampu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat," katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut berharap agar bantuan itu dapat memperkukuh usaha IDIP dalam melahirkan generasi pendakwah cemerlang yang mampu memperhebatkan penyebaran syiar Islam, khususnya di Kelantan.

Sementara itu, Pengarah IDIP, Prof. Dr. Ramle melahirkan penghargaan dan berterima kasih atas sumbangan yang dianggap sebagai manifestasi sokongan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pembangunan pendidikan mualaf.

“Keprihatinan ini adalah dorongan besar buat IDIP untuk terus komited memperkasa saudara baharu dan melaksana dakwah dengan lebih berkesan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments