Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN KELANTAN SERIUS LINDUNGI WARISAN GASTRONOMI NEGERI

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 24 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan serius memelihara, melindungi dan memartabat warisan makanan tradisional negeri sebagai identiti budaya yang bernilai tinggi.

Bagi memperkasakan usaha ke arah kelestariannya, satu mesyuarat Perbincangan Program Hak Harta Intelek (IP) Gastronomi telah diadakan di Mabna pada Rabu melibatkan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor bersama Timbalan Ketua Pengarah Strategik dan Teknikal MyIPO Yusnieza Syarmilla.

Menurut Datuk Kamarudin, mesyuarat itu membincangkan langkah strategik untuk melindungi makanan ikonik negeri seperti Nasi Kerabu, Budu, dan Akok melalui  pendaftaran harta intelek. Sebagai contoh, nama dan logo makanan ini boleh didaftarkan di bawah cap dagangan, sementara keunikan makanan yang berkait dengan lokasi asal seperti Budu dan Nasi Kerabu pula dilindungi melalui Petunjuk Geografi atau Cap Dagangan Kolektif. Pendaftaran harta intelek ini penting bagi memastikan keaslian resipi makanan tradisional ini terus terpelihara.

“Langkah ini bertujuan mengukuhkan identiti budaya Kelantan di samping menambah nilai kepada sektor pelancongan. Warisan gastronomi negeri perlu diiktiraf dan dilindungi agar ia kekal lestari untuk generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, inisiatif mempromosi pelancongan tematik gastronomi turut dilaksanakan melalui penerbitan enam video dokudrama yang menyingkap falsafah dan keistimewaan resipi tradisional seperti Akok, Pindang Tapai, Ketupat Sotong Mengambang, Lompat Tikam, Puteri Mandi dan Jeruk Maman.

“Video dokudrama ini akan menjadi medium penting untuk memperkenalkan warisan makanan Kelantan kepada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa kerana ia dibuat dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris sekali gus meningkatkan daya tarikan pelancongan luar negara,” tambahnya.

Beliau berharap usaha bersepadu itu mampu menjadi pemangkin kepada kelestarian warisan gastronomi Kelantan di peringkat nasional dan global, menjadikan negeri ini destinasi pelancongan budaya yang unik dan berdaya saing.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) Zaki Ismail.



Post a Comment

0 Comments