Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU: Rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai kebijaksanaan untuk menilai kepentingan negeri, dasar dan kestabilan kerajaan bagi menentukan kemampuan seseorang sebagai calon Perdana Menteri (PM).
Malah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pernah berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut melibatkan PAS sebagai anggota kabinet.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, ramai pemimpin PAS mempunyai pengalaman sebagai menteri dan timbalan menteri ketika era pentadbiran PN.
Malah, pemimpin PAS juga memiliki pengalaman mentadbir kerajaan di Kelantan hampir 36 tahun, di Terengganu lebih 10 tahun dan Kedah hampir 10 tahun.
“Rekod pentadbiran kerajaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sepatutnya menjadi asas penilaian terhadap kemampuan memimpin PAS untuk menerajui negara pada masa akan datang.
“Kelayakan seseorang calon PM wajar dinilai berdasarkan dasar, integriti, rekod pentadbiran dan kemampuan mengurus kerajaan,” katanya di sini.
Baru-baru ini Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dzul Hilmi Zainol dilapor mempersoalkan adakah GPS dan GRS boleh menerima calon PM dari PAS pasca Pilihan Raya Umum ke16 (PRU16).
Mohd Firdaus berkata, tindakan AMK menggambarkan GPS dan GRS menghadapi masalah untuk menerima calon PM daripada PAS, sebagai mencampuri rumahtangga orang.
Menurutnya pemimpin AMK terbabit tidak wajar membuat andaian bagi pihak parti lain kononnya GPS dan GRS menolak PAS kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Sebarang andaian mengenai pendirian GPS dan GRS terhadap PAS tidak seharusnya melibatkan AMK kerana identiti parti yang jauh berbeza,” ujarnya.


0 Comments