Ticker

6/recent/ticker-posts

KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUHKAN EKOSISTEM SUKAN -YB ZAMAKHSHARI

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 22 Januari - Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad menekankan kepentingan kerjasama antara akademik, kerajaan, organisasi sukan, dan masyarakat dalam memperkukuh ekosistem sukan di negara ini.

Beliau yakin inovasi yang dibincangkan dalam seminar bertaraf antarabangsa mampu memberi impak besar terhadap pembangunan sukan, dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat elit.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Psikologi Sukan dan Senaman ke-12 bertemakan “Inovasi dan Kemajuan Teknologi dalam Psikologi Sukan dan Senaman Antarabangsa” di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, pada Selasa.

“Kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan adalah asas untuk membina ekosistem sukan yang lebih kukuh dan mampan. Melalui inovasi dan teknologi, kita boleh meningkatkan daya tahan mental atlet, memperbaiki prestasi, serta menyokong kesejahteraan fizikal dan mental mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seminar anjuran USM tersebut menghimpunkan lebih 100 peserta dari pelbagai negara, termasuk Indonesia, Thailand, Korea, Taiwan, dan China.

Ia menjadi platform penting untuk membincangkan peranan teknologi dalam memperkasa psikologi sukan, khususnya dalam membantu atlet menghadapi cabaran mental dan fizikal di peringkat tertinggi.

Selain itu, seminar itu juga mengetengahkan pendekatan baharu dalam membangunkan sistem latihan sukan yang lebih inovatif, selaras dengan keperluan sukan moden.

YB Zamakhshari turut mengucapkan tahniah kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menganjurkan seminar ini. Beliau berharap ia menjadi titik tolak kepada pembaharuan positif dalam dunia sukan dan senaman.

“Saya percaya, platform seperti ini adalah langkah proaktif dalam memastikan Malaysia terus melahirkan bakat-bakat sukan yang bukan sahaja cemerlang di arena tempatan, malah di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Turut hadir, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan USM Prof. Dr. Wan Rosli Wan Ishak.



Post a Comment

0 Comments