Ticker

6/recent/ticker-posts

MUFTI KEMBOJA HARGAI JASA KELANTAN PERKASAKAN ISLAM DI NEGARA MINORITI MUSLIM

Oleh: Norzana Razaly 

PHNOM PENH, 20 Januari– "Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kelantan berjasa besar dalam memartabatkan perkembangan Islam di Kemboja."

Demikian penghargaan tulus ikhlas yang disampaikan Mufti Kerajaan Kemboja Sahibus Samahah Neak Okhna SOS Kamry Kamaruddin Yusof ketika menutup lawatan kerja delegasi Kelantan ke bumi minoriti Muslim itu, semalam.

Menurutnya, sejak silibus pendidikan Islam YIK mula diguna pakai pada tahun 2001, impaknya sangat besar dalam memacu perkembangan Islam di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

"Di Phnom Penh, yang memiliki kepadatan penduduk lebih dua juta orang, perkembangan Islam terus harmoni, hidup bersama masyarakat beragama Buddha," katanya.

Tambah beliau, peranan 13 buah masjid di sekitar bandaraya tersebut terus diperkasakan, sebahagian besar diketuai oleh imam dan asatizah yang mendapat pendidikan dan tarbiah dari Kelantan, negeri yang terkenal sebagai Serambi Mekah.

Dalam pertemuan itu juga,    Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud turut menyatakan keyakinan terhadap pelan strategik dan kerjasama pendidikan yang digerakkan oleh YIK bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

Memetik kenyataan daripada laman sosialnya, Dato' Mohd Nassuruddin berkata kerjasama pintar tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memastikan perkembangan Islam di Kemboja terus subur dan kukuh.

"Hubungan erat ini melambangkan semangat persaudaraan Islam yang tinggi antara dua wilayah,” catatnya.

Beliau yang mengetuai delegasi Kelantan ke Kemboja bermula Khamis hingga Ahad, turut mengadakan beberapa pertemuan dengan masyarakat Islam tempatan di sana.

Beliau juga menyampaikan taujihat tentang pentingnya ilmu dan hubungan dengan Allah SWT, serta mengukuhkan kerjasama pendidikan bagi memperluaskan manfaat dakwah di Kemboja.

Post a Comment

0 Comments