Oleh: Asri Hamat
MACHANG, 20 Januari – Teknologi moden fertigasi terus mencipta kejayaan apabila seorang usahawan tani, Zulqarnaim Zahid, berjaya mengusahakan tanaman cili sebanyak 20,000 pokok di atas tanah seluas 3.6 ekar di Kacang Go, Kemuning, Machang.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memuji projek fertigasi itu yang merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).
Beliau menyifatkan kejayaan Zulqarnaim sebagai bukti keberkesanan teknologi moden dalam sektor pertanian.
"Projek fertigasi ini adalah yang pertama di kawasan ini dan alhamdulillah, ia membuktikan keupayaan rakyat Kelantan untuk mengadaptasi teknologi moden dalam pertanian.
"Kejayaan Zulqarnaim memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tani untuk mencuba kaedah ini," katanya menerusi catatan di media sosial pada Jumaat.
Terdahulu, beliau bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Zakhran Mat Noor, melawat tapak projek fertigasi tersebut pada Khamis.
Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, kaedah fertigasi memastikan penghasilan cili berkualiti tinggi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar.
"Semoga kejayaan Zulqarnaim ini menjadi model kepada petani lain di Kelantan. Insha Allah, dengan kerjasama berterusan daripada KPKM, lebih banyak projek seumpama ini akan dilaksanakan untuk membantu rakyat dan mengukuhkan sektor pertanian negeri," tambahnya.
Untuk rekod, kaedah fertigasi yang menggabungkan sistem baja dan air dalam pengairan, memastikan setiap pokok cili menerima nutrien secukupnya untuk pertumbuhan optimum.
Teknologi berkenaan menghasilkan tanaman yang subur, berkualiti tinggi, serta mampu meningkatkan hasil tuaian.
0 Comments