SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Pengaruh teknologi boleh memberi kesan mendalam terhadap pembentukan nilai dan akhlak golongan remaja.
Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, kerana itu penting peranan ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak mengikut acuan agama.
Katanya ibu bapa memain peranan penting bagi mengawasi perilaku anak-anak memandangkan mereka terdedah dengan pelbagai teknologi gajet yang canggih.
"Persekitaran di rumah memberi kesan besar kepada pembesaran anak-anak, apatah lagi dalam era teknologi maklumat yang penuh cabaran," ujarnya di Majlis Penyerahan Skim Cakna Aulad Negeri Kelantan DUN Bunut Payong Siri 2 di Pusat Khidmat DUN Bunut Payong, di sini semalam.
Shaari juga berkata, kerajaan negeri mempergiat usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai tanggungjawab membentuk anak-anak dengan melaksanakan Skim Cakna Aulad.
Menurutnya, skim berupa sumbangan itu disalurkan kepada bayi yang baharu lahir.
Pada program itu seramai 21 penerima hadir menerima sumbangan Skim Tabung Manjaku Cakna Aulad, yang menyediakan tabungan awal dua dirham serta sumbangan kecil wang tunai untuk bayi.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Kelantan Golden Trade (KGT).
Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Shazwani Matsah berkata, walaupun nilai dua dirham yang diberikan melalui KGT dianggap kecil, namun ia merupakan langkah pertama memupuk budaya menabung demi masa depan anak-anak.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa menambah tabungan tersebut secara berterusan melalui platform E-D&D (Elektronik Dinar & Dirham).
0 Comments