Ticker

6/recent/ticker-posts

PROJEK EMAS UNTUK PALESTIN FASA DUA BERMULA FEBRUARI-APRIL 2025

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 28 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) akan meneruskan Projek Emas untuk Palestin bagi fasa kedua.

Projek kerjasama dengan Majlis Perundingan Wanita Kelantan (MPWK), Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Negeri (PURNAMA), agensi serta jabatan kerajaan negeri, dan badan bukan kerajaan (NGO) itu dijangka bermula pada awal Februari hingga akhir April 2025.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial semalam, U-KeKWa memaklumkan bahawa mesyuarat bagi perancangan dan pelaksanaan program telah diadakan pada Isnin.

"Alhamdulillah, pengumpulan dana bagi Projek Emas untuk Palestin fasa pertama yang berlangsung dari 1 November 2024 hingga 31 Januari 2025 telah berjaya dilaksanakan.

"Fasa kedua akan bermula pada 1 Februari hingga 30 April 2025.

"Insya Allah, sumbangan daripada fasa pertama akan diserahkan kepada pihak Palestin sempena bulan Ramadan ini.

"Semoga ia dapat meringankan beban rakyat Palestin, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan solidariti kita terhadap saudara seagama di sana.

"Marilah kita sama-sama menunjukkan keprihatinan dan solidariti dengan menyumbang melalui Projek Emas untuk Palestin fasa kedua ini," menurut kenyataan tersebut.

Untuk rekod, Projek Emas untuk Palestin dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada Oktober 2024 sebagai inisiatif khas melibatkan wanita di negeri ini untuk mengumpul dana demi membantu rakyat Palestin yang terus ditindas dan diserang rejim Israel.

Post a Comment

0 Comments