Ticker

6/recent/ticker-posts

TIGA FOKUS UTAMA SEBAGAI AMANAT MEMASUKI TAHUN BAHARU 2025 - MB

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 1 Januari – Umat Islam diseru menitikberat tiga fokus utama sebagai panduan memasuki tahun baharu 2025, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Menurutnya, pengajaran daripada ayat ke-18 surah al-Hasyr menjadi asas kepada tiga fokus tersebut iaitu beriltizam dengan taqwa, bermuhasabah terhadap amalan, dan mengutamakan kehidupan akhirat.

“Beriltizam dengan takwa bermaksud meningkatkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT serta menjauhkan diri daripada larangan-Nya.

“Bermuhasabah pula ialah menilai setiap amalan dan perbuatan agar selari dengan syariat Allah SWT. Sementara itu, mengutamakan kehidupan akhirat mengingatkan kita bahawa dunia hanyalah persinggahan untuk bersiap sedia menuju kehidupan yang kekal abadi,” katanya.

Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Beliau turut menekankan kepentingan mengaplikasikan ketiga-tiga fokus ini dalam semua aspek kehidupan, sama ada sebagai individu, pekerja, atau dalam konteks pentadbiran kerajaan.

“Dengan menghayati nilai ini, tahun 2025 mampu menjadi lebih produktif, inovatif, dan berdaya saing, seterusnya membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat, negeri, dan negara,” katanya dalam ucapan amanat sempena Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di sebuah pasar raya di Tunjong, di sini, malam tadi.

Dato' Mohd Nassuruddin turut memaklumkan bahawa sambutan ambang tahun baharu anjuran Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan pendekatan tersendiri yang kini menjadi ikutan beberapa negeri lain.

“Tema ‘Anak Muda Berselawat’ dengan pengisian rohani yang menghidupkan jiwa adalah pendekatan terbaik dan amat relevan dengan situasi semasa,” jelasnya.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk memulakan tahun baharu dengan rasa syukur atas nikmat Allah SWT, memperbaharui azam, memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan pencapaian.

Majlis sambutan tersebut dihadiri ribuan peserta terdiri daripada golongan muda dan masyarakat pelbagai lapisan.

Program bermula dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, disusuli kuliah Maghrib oleh Ustaz Harryanto Rizal Rokman, bacaan ayat suci al-Quran, selawat, dan kuliah ambang tahun baharu oleh Ustaz Wadi Annuar Ayub.

Amanat tahun baharu disampaikan oleh Menteri Besar menjadi kemuncak acara sebelum majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Imam Besar Negeri Kelantan, Dr. Muhamad Hana Pizi Abdullah.




Post a Comment

0 Comments