Ticker

6/recent/ticker-posts

ASHRAF, MUNIRAH WAKILI KELANTAN KE PERINGKAT KEBANGSAAN

Mohammad Ashraf Azman Johan Majlis Tilawah peringkat Negeri Kelantan

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 27 Februari- Mohammad Ashraf Azman Johan Majlis Tilawah dan Munirah Kasim Johan Hafazan peringkat Negeri Kelantan akan mewakili Kelantan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1446H/2025M yang akan diadakan di Dewan Wawasan 2020, Kangar Perlis Indera, Kayangan pada 27 April hingga 2 Mei nanti.

Selaku johan, Mohammad Ashraf yang memperoleh markah sebanyak 82 peratus dan Munirah 78.50 peratus membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, piala, sijil dan sepersalinan pakaian.

Majlis pengurniaan hadiah tersebut telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra pada Rabu di Dewan Tengku Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu.

Munirah Kasim Johan Hafazan peringkat Negeri Kelantan

Sementara itu untuk bahagian hafazan, kategori tahap satu iaitu satu hingga 10 juzuk berserta taranum, johan hafiz disandang oleh Abdul Karim Mohd Azra'hi dengan markah 98.69 peratus dan hafizah disandang oleh Siti Maryam Mohd Rahim dengan markah 95.63 peratus.

Manakala bagi tahap dua iaitu satu hingga 20 juzuk, johan hafiz di sandang oleh Nik Azri Hanif Nik Ahmad Huzaimi dengan markah 95.88 peratus dan hafizah di sandang oleh Wieddad Izzadin dengan markah 95.90 peratus.

Bagi tahap tiga iaitu satu hingga 30 juzuk berserta tafsir pula, johan hafiz disandang oleh Ahmad Abid Mohd Radzi dengan markah 97.30 peratus dan johan hafizah disandang oleh Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dengan markah 87.45 peratus.

Johan hafiz dan hafizah tahap satu menerima wang tunai RM2,500, piala, sijil dan sepersalinan pakaian, tahap dua menerima wang tunai RM3000, piala sijil dan sepersalinan pakaian manakala tahap tiga menerima wang tunai RM10,000, piala, sijil dan sepersalinan pakaian.

Johan hafazan bagi semua kategori juga akan mewakili Negeri Kelantan ke MTHQK 1446H bersamaan 2025M di Negeri Perlis.

YAB Menteri Besar, Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud

Dalam ucapan perasmian penutup pada majlis tersebut,  YAB Menteri Besar, Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia yang bertakwa dengan panduan al-Quran.

"Antaranya akan menjadi insan yang mulia di sisi Allah, mendapat kemudahan dalam sesuatu urusan, mendapat pertolongan daripada Allah SWT, mampu membezakan antara kebaikan dan keburukkan serta dapat mewarisi syurga Allah SWT.

"Menyedari kelebihan dan keistimewaan tersebut, maka Kerajaan Negeri Kelantan dan seluruh agensinya akan bergerak seiring untuk membangun dan membimbing masyarakat berpandukan al-Quran dengan penuh keyakinan dan kebergantungan kepada Manhaj Rabbani ini.

Dengan Manhaj Rabbani ini insya-Allah kita mampu menghadapi segala ujian yang mendatang termasuk berdepan dengan keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku dalam masyarakat hari ini", katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri, YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Dr Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mad Daud, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.



Post a Comment

0 Comments