Ticker

6/recent/ticker-posts

SYARIKAT TEMPATAN, HONG KONG BINA KILANG PEMPROSES IKAN RM12 JUTA DI TOK BALI

Oleh: Norzana Razaly

PASIR PUTEH, 27 Februari – Tok Bali terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab industri perikanan utama di Pantai Timur dengan pelaburan baharu bernilai RM12 juta bagi pembinaan kilang industrI hiliran berasaskan ikan.

Projek pembinaan kilang pemprosesan tepung ikan, minyak ikan dan makanan haiwan pertama seumpamanya di Kelantan itu merupakan usaha sama di antara pelabur syarikat tempatan Gelombang Agro Sdn. Bhd. dan syarikat Hong Kong Topway Global Enterprise Ltd.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia dan Keusahawanan YB Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata pelaburan tersebut akan membawa perubahan besar dalam ekosistem industri perikanan negeri, daripada hanya bergantung kepada eksport hasil laut mentah kepada pembangunan industri hiliran yang bernilai tinggi.

“Kita berterima kasih kepada para pelabur yang memanfaatkan infra struktur peindustrian di Tok Bali sebagai zon industri perikanan yang kompetitif.

“Sasaran pemain industri  ialah untuk meningkatkan nilai tambah kepada hasil laut dan mengurangkan pembaziran sumber marin.

Sekali gus, bakal membuka 100 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan memberi impak besar terhadap rantaian industri perikanan serta penternakan haiwan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya lagi, Kelantan sememangnya kaya dengan hasil laut dan berpotensi besar dalam industri pemprosesan makanan haiwan berasaskan sumber marin.

“Projek ini akan menjadikan Tok Bali sebagai pusat pemprosesan bertaraf dunia, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Pemprosesan Tepung Ikan, Minyak Ikan dan Makanan Haiwan di Tok Bali, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Poseidon Feeds & Nutrients Sdn. Bhd. Zarir Yaakob pula memaklumkan bahawa sebagai syarikat pelaksana, pihaknya akan membina kilang tersebut di atas tanah seluas 1.2 ekar yang berstatus industri dalam tempoh sembilan bulan.

“Kita mensasarkan kilang ini beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026. Fasa 1 merangkumi kilang tepung ikan dan minyak ikan bernilai RM5 juta.

“Kapasiti pengeluaran harian ialah 80 tan ikan dan sisa ikan. Manakala pengeluaran tahunan berjumlah 8,000 tan tepung ikan dan 200 tan minyak ikan. Kita menganggarkan perolehan tahunan ialah RM10 juta.

Fasa 2 pula melibatkan pembinan kilang makanan haiwan bernilai RM7 juta berserta pembangunan penyelidikan & pembangunan (R&D) dengan kepakaran tempatan,” jelasnya.

Beliau juga menyakini kewibawaan kedua-dua pelabur yang berpotensi menjayakan pelaburan tersebut.

"Gelombang Agro Sdn. Bhd., ditubuhkan pada tahun 2020 dan sudah lima tahun terlibat dalam pembuatan serta perdagangan baja berasaskan sisa ikan dan tepung ikan.

“Topway Global Enterprise Ltd. pula ialah anak syarikat Topway (Far East) Limited yang berpangkalan di Hong Kong sejak 1981. Syarikat ini aktif dalam pembiayaan dan pelaburan di Asia, khususnya dalam industri perlombongan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments