![]() |
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 9 Februari – Kadar sewa tapak Bazar Ramadan 2025 di Zon B, Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV ditetapkan sepenuhnya oleh pihak pemajak, Tun Event Management.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad menjelaskan bahawa Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) memberi hak sewaan tapak kepada pemajak selepas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menarik diri daripada penganjuran Program Pasar Tani Ramadan 2025 di lokasi berkenaan.
Menurut YB Zamakhshari, FAMA sebelum ini mengendalikan bazar tersebut melalui Program Pasar Tani Ramadan pada setiap tahun dengan menyewa tapak daripada PSK.
“Menerusi surat rasmi bertarikh 22 Januari 2025, FAMA memutuskan untuk tidak lagi terlibat kerana ingin memberi tumpuan kepada aktiviti lain.
“Susulan itu, PSK memberikan hak penganjuran kepada Tun Event Management yang berhasrat menjadikan bazar lebih dinamik dan menarik dengan penambahbaikan aspek kebersihan dan keceriaan.
“Di bawah kelolaan FAMA sebelum ini, kadar sewa adalah RM500 bagi tapak bersaiz 3x6 kaki persegi untuk tapak kosong tanpa kemudahan elektrik. Dengan pengurusan baharu, harga ditetapkan untuk Tapak Premium bersaiz khemah10x10 kaki persegi di lot penjuru, satu plug poin, kipas, lampu, dua helai apron berharga RM1,650.
“Manakala tapak Biasa berukuran 10x10 kaki khemah, satu plug point, kipas, lampu, 2 helai apron pada kadar RM1,350. Harga tersebut tidak termasuk lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI, katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa demi keselesaan pengunjung, hanya 160 tapak disediakan.
“Setakat ini, 157 petak jualan yang ditawarkan telah ditempah oleh peniaga tempatan, dengan hanya tiga petak masih berbaki.
“Bagi meningkatkan daya tarikan bazar dan memberi motivasi kepada peniaga, pihak penganjur turut memperkenalkan pertandingan reruai paling cantik dan bersih. Hadiah wang tunai menanti pemenang.
“Selain itu, peniaga juga berpeluang menyertai cabutan bertuah bernilai RM3,000 sepanjang tempoh bazar berlangsung,” jelasnya ketika ditemui media UPKN di pejabatnya, hari ini.
0 Comments