![]() |
Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad |
Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 9 Februari – Semangat kesukanan dan ukhuwah di antara anak Kelantan di perantauan terus diperkukuh melalui penganjuran Pertandingan Futsal Anak Kelantan di Perantauan Zon Lembah Klang.
Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan Malaysia (PERAKAN) itu menyaksikan penyertaan 32 pasukan terdiri daripada anak-anak Kelantan yang menetap dan bekerja di sekitar Lembah Klang.
Pertandingan yang berlangsung di IWK@Eko Park Pantai Dalam itu menjadi pentas persaingan sihat dan wadah penting dalam menyatukan anak-anak Kelantan yang merantau, mengukuhkan jati diri dan semangat kekitaan dalam kalangan mereka.
Demikian kenyataan Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad, yang mewakili Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud.
Beliau turut menekankan kepentingan program seperti itu dalam mempererat hubungan di antara kerajaan negeri dan warga Kelantan di perantauan.
"Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk kerajaan negeri mendekati perantau, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk bertemu sahabat handai yang jarang berjumpa," katanya.
![]() |
Presiden PERAKAN, Dato' Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin |
Sementara itu, Presiden PERAKAN, Dato' Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin, menyuarakan kepuasan hatinya terhadap semangat kekitaan yang ditonjolkan oleh generasi muda Kelantan, baik di negeri asal mahupun di luar.
"Saya gembira melihat golongan muda aktif bersukan. Program seperti ini mendapat sambutan menggalakkan dan memberi manfaat dalam membina jaringan sosial yang erat di kalangan anak Kelantan," ujarnya.
Dalam kejohanan tersebut, Cukup Quota V2 FT muncul sebagai juara, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala kejohanan, pingat serta bola perlawanan akhir.
Warisan Rasa FT pula meraih naib juara dengan hadiah RM700 dan pingat, manakala Falahians FT di tempat ketiga menerima RM500 dan pingat.
Tempat keempat pula disandang oleh Zess FT, yang membawa pulang RM300 dan pingat.
0 Comments