Oleh: Norzana Razaly
Via Ferrata, laluan pendakian yang dilengkapi dengan tangga dan kabel yang dipasang pada permukaan berbatu tertinggi di Semenanjung terdapat di Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan. Akviti lasak ini menawarkan pengalaman pendakian yang unik dan mencabar, sambil mempromosikan ekopelancongan dan pemuliharaan alam sekitar di Ulu Kelantan.
Majlis Daerah Dabong (MDD) mempromosi aktiviti sukan lasak Via Ferrata yang menyumbang kepada pembangunan ekopelancongan di Dabong. Sokongan berterusan daripada pihak berkuasa tempatan adalah penting untuk memastikan keselamatan, keselesaan, dan kepuasan pengunjung serta pemuliharaan alam sekitar di kawasan tersebut.
Pada Disember 2020, MDD telah menaik taraf trek asal Via Ferrata di Gua Ikan yang sebelum ini berketinggian 70 meter dari aras laut kepada 210 meter menjadikannya trek terpanjang dan tertinggi di Semenanjung Malaysia. Usaha itu menunjukkan komitmen MDD dalam menyediakan prasarana yang lebih baik untuk pendaki.
Pemandu arah berlesen
Pendakian mestilah di bawah bimbingan pemandu arah berlesen seperti Nik Ali Nik Muhammad agar pendaki dapat menikmati keindahan alam semula jadi dengan selamat dan bermakna. Nik Ali ialah pemandu arah pelancong berdaftar (TG18177) yang memulakan kerjaya sebagai malim Via Ferrata di Gua Ikan sejak tahun 2020.
Menurutnya, individu yang berminat perlu menjalani kursus dan latihan tali aras tinggi. Latihan tersebut memastikan pemandu arah memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membimbing pendaki dengan selamat.
Sebelum memulakan pendakian Via Ferrata di Gua Ikan, pendaki perlu memastikan peralatan dipakai dengan betul dan selamat serta mendengar arahan daripada malim. Peralatan wajib termasuk satu set abah-abah (harness), topi keselamatan dan sarung tangan.
“Sebelum dan selepas memakai peralatan, pemandu arah akan memastikan segala peralatan dipakai dengan betul dan selamat untuk aktiviti,” jelasnya yang menghadapi pelbagai cabaran, termasuk usaha menambah laluan baharu untuk meningkatkan pengalaman pendaki.
Kesukaran laluan 6 per 10
Menyentuh aspek laluan dan cabaran Via Ferrata, anak muda pernah bekerja di Soeul, Korea itu menjelaskan bahawa tahap kesukaran laluan Via Ferrata di Gua Ikan dianggarkan pada 6 per 10, menjadikannya sesuai untuk kebanyakan individu yang ingin mencuba, kecuali mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.
“Keunikan laluan ini terletak pada puncaknya yang menyerupai Gunung Mulu di Sarawak. Dari puncak, pendaki dapat melihat dengan jelas Banjaran Trans Jelawang, termasuk Gunung Baha, Gunung Ayam, Gunung Stong, dan Kem Baha,” katanya ketika ditemui penulis di lokasi pendakian pada 1 Februari lalu.
Ketika itu beliau mengetuai ekspedisi 12 pendaki dari Lembah Kelang yang terdiri daripada pensyarah dari institusi pengajian tinggi awam dan eksekutif korporat.
Beliau juga menegaskan bahawa aktiviti Via Ferrata di Gua Ikan tidak menjejaskan hakisan tanah kerana pendaki berjalan 100 peratus di atas batu sahaja. Selain itu, pemandu arah dapat memantau kawasan dari atas untuk mengenal pasti batu yang berisiko jatuh, memastikan keselamatan pengunjung dan pemuliharaan alam sekitar.
Pengalaman bermakna
Salah satu pengalaman paling bermakna yang dialami oleh Nik Ali ialah apabila seorang pendaki berbangsa India dari Johor, yang hampir membunuh diri akibat tekanan hidup selepas kematian suaminya, datang ke Dabong atas nasihat doktor untuk mencari aktiviti sukan lasak.
Selepas menyelesaikan pendakian Via Ferrata dan mencapai puncak, beliau memeluk Nik Ali dan menangis sekuat-kuatnya, menyatakan bahawa itu adalah hari paling bahagia dalam hidupnya.
Oleh itu, bagi mereka yang ingin mencuba aktiviti lasak Via Ferrata buat kali pertama, terutama di Gua Ikan, nasihat Nik Ali adalah untuk tidak dibelenggu rasa takut selagi ada kemahuan untuk mencuba.
Beliau yakin dengan persediaan yang betul dan bimbingan malim berpengalaman, pendaki pasti teruja untuk berpijak di lereng gunung seperi kambing gurun yang mencabar kebolehan diri sekali gus memberi inspirasi menjadi pemberani.
0 Comments