![]() |
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad |
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Zamakhshari Muhamad
KOTA DARULNAIM, 10 Februari – Kejohanan Bocce Berpasukan Komuniti Sekolah Kelantan Peringkat Kebangsaan 2025 merupakan langkah penting dalam usaha memasukkan sukan ini ke dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata kejohanan tersebut adalah sebahagian daripada persiapan untuk memastikan bocce disenaraikan dalam SUKMA ke-23 pada tahun 2028.
Kelantan bakal menjadi tuan rumah dalam kejohanan terbabit.
Menurutnya, kejohanan itu berperanan sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat muda serta memperkenalkan sukan bocce secara lebih meluas kepada masyarakat.
Beliau berharap kejohanan berkenaan berjaya memperkukuh perkembangan bocce di Malaysia.
Tambahnya, bagi memastikan SUKMA 2028 berjalan lancar, Kerajaan Negeri Kelantan bersama pihak berkaitan serdang giat menyiapkan infrastruktur serta memilih acara terbaik untuk disenaraikan di samping merangka strategi bagi memastikan kejayaan atlet Kelantan dalam temasya tersebut.
Terdahulu, YB Zamakhshari telah merasmikan Kejohanan Bocce Berpasukan Komuniti Sekolah Kelantan Peringkat Kebangsaan 2025, di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Panji, Kota Bharu, pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bocce Malaysia atas penganjuran kejohanan yang disertai oleh sembilan pasukan dari seluruh negara, iaitu Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, serta Kelantan sebagai tuan rumah.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSN) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan atas usaha mereka dalam memajukan sukan bocce di Malaysia.
0 Comments