Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 10 Februari — Projek Madinah Ramadan salah satu komponen utama dalam pembangunan Bandar Baru Tunjong yang memperkukuh identiti perbandaran Islam di Kelantan.
Pembangunan di Tunjong merupakan agenda utama kerajaan negeri yang merangkumi dua bandar utama; Madinah As-Salam dan Madinah Ramadan.
Madinah Ramadan adalah sebahagian daripada projek mega yang dibangunkan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong 2035, melibatkan kawasan seluas 1,779.8 hektar yang bakal memperkukuh agenda perbandaran Islamik di Kelantan.
Ia berpotensi mewujudkan ekosistem ekonomi berasaskan syariah yang mampan, menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.
![]() |
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyatakan bahawa projek tersebut merupakan kesinambungan usaha memperkasa pembangunan berteraskan Islam yang diilhamkan oleh mantan Menteri Besar YB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Dato’ Mohd Nassuruddin memaklumkan bahawa Madinah Ramadan ialah pusat ibadah dan ilmu al-Quran serta simbol penyatuan ummah serta destinasi pelancongan baharu di negeri ini.
"Projek ini bakal menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Bandar Baru Tunjong menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong 2035 yang telah bermula sejak tahun 2022.
“Ia turut diumumkan sebagai salah satu inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Kelantan 2025 sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan perbandaran moden dan mesra ibadah kepada rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Projek Madinah Ramadan Bil. 1/2025 di Mabna, pada Ahad.
![]() |
Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud |
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menjelaskan bahawa pembangunan sekitar Tunjong melibatkan pelbagai institusi Islamik, termasuk masjid, pusat mushaf al-Quran serta kompleks pejabat hal ehwal Islam.
"Setelah siap sepenuhnya, kawasan ini bakal menjadi mercu tanda utama Kelantan. Pembinaan masjid dengan kapasiti hampir 6,000 jemaah, Pusat Mushaf Al-Quran & Manuskrip serta penempatan pejabat hal ehwal Islam akan menjadi keistimewaan projek ini," catatnya di laman sosial, semalam.
0 Comments