Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN-PAPISMA BINCANG PROGRAM CEGAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 17 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) terus komited memperkukuh sinergi dalam usaha mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja melalui program-program berfokuskan pendidikan dan kesedaran kesihatan.

Menerusi perbincangan bersama, kerajaan negeri bersetuju untuk memperluas pelaksanaan program pencegahan gejala sosial di sekolah-sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebagai langkah strategik bagi membentuk persekitaran lebih harmoni dan selamat untuk generasi muda.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menyambut baik inisiatif tersebut dan menegaskan bahawa kerjasama di antara kerajaan negeri, PAPISMA, institusi pendidikan serta masyarakat adalah kunci utama dalam menangani cabaran sosial yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini.

"Kita menyambut baik inisiatif sebegini. Insya Allah, dengan kerjasama erat di antara PAPISMA, pihak sekolah, dan masyarakat, kita dapat mewujudkan suasana persekitaran yang lebih selamat dan harmoni untuk anak-anak kita," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PAPISMA atas kesungguhan dan usaha berterusan dalam menyantuni isu-isu kesihatan serta sosial dalam masyarakat.

"Terima kasih diucapkan kepada PAPISMA atas komitmen mereka dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan muda.

"Semoga perancangan tersebut berjalan lancar dan memberi manfaat besar kepada anak-anak kita," tambahnya.

Terdahulu, Dato’ Wan Roslan menerima kunjungan hormat daripada wakil PAPISMA Kelantan di pejabatnya di Mabna, Kota Darulnaim bagi membincangkan pelaksanaan program berkenaan.

Post a Comment

0 Comments