Ticker

6/recent/ticker-posts

Urusniaga emas di Kelantan paling tinggi



SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Gabungan bekalan barangan kemas di negeri-negeri lain khususnya di Pantai Barat tidak mampu menandingi jumlah urusniaga emas di Kelantan.

Maka tidak hairanlah dianggar 500 kilogram barang kemas dibawa masuk ke Kelantan yang dibekalkan ke seluruh premis menjual emas di negeri itu setiap bulan.

Jumlah itu menunjukkan penawaran di premis menjual emas dan permintaan terhadap barang kemas di Kelantan begitu tinggi.

Barang kemas tersebut diperoleh daripada pengilang terutamanya dari Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Empayar Iman Sdn. Bhd. (Empayar Iman), Zulna Hashim berkata, selaku pihak yang menguruskan Taman Emas Malaysia (TEM) di Kota Bharu kebanyakan pembekal emas di Kelantan aktif mengambil barangan kemas dari kilang-kilang.

“Jumlah keseluruhan emas dibawa masuk ke Kelantan dari kilang mencecah 500 kg sebulan dan ia bukan satu jumlah yang kecil," katanya pada sidang media sempena perasmian Taman Emas Malaysia di Bazar Tuan Padang baru-baru ini. 

Turut hadir Pengerusi TEM dan Akademi Emas Malaysia, Zulkifli Idris.



Taman Emas Malaysia merupakan hab ekosistem dalam industri emas bermula di peringkat pendidikan, kemahiran seni kraf barangan kemas, galeri ilmu berkenaan emas, ruang niaga dan menjadi produk pelancongan pembelajaran lengkap seni kraf emas.

Zulna juga berkata, kewujudan TEM sejak Julai 2024 sekali gus mendorong merancakkan industri emas di Kelantan kerana banyak bekalan emas itu masuk ke negeri ini setiap bulan.

Kata beliau perniagaan emas di Kelantan dilihat lebih mudah berbanding tempat lain kerana budaya membeli dan menyimpan emas sudah sebati dengan masyarakat di negeri tersebut. 

“Masyarakat di Kelantan khususnya golongan wanita kebanyakan minat dengan barangan kemas. Jika tidak dipakai, emas itu pasti akan dijadikan simpanan," katanya.

Post a Comment

0 Comments