Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Hj Mohd Rusli Abdullah
TUMPAT, 7 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan terus aktif merai kepelbagaian budaya kaum minoriti di negeri ini, termasuk melalui penganjuran sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang diadakan setiap tahun.
Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad, berkata program seperti itu bertujuan memastikan kaum minoriti turut merasai manfaat di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam.
"Kerajaan Negeri Kelantan melalui UPKN sentiasa komited menganjurkan program sambutan perayaan bagi kaum minoriti, termasuk Tahun Baharu Cina.
![]() |
Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Razuan Awang Hamad |
"Ini membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam masyarakat tanpa menyentuh sensitiviti agama," katanya.
Menurutnya, UPKN juga berperanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat minoriti, khususnya masyarakat Tionghua, agar mereka tidak terpinggir daripada agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat anjuran UPKN sempena sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu di Kampung Kulim, Wakaf Bharu, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Rusli AbdullahAhli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Rusli Abdullah menegaskan bahawa walaupun komuniti bukan Islam di kawasan ini kecil, mereka tetap diraikan sebagai sebahagian daripada masyarakat Kelantan yang harmoni.
"Walaupun jumlah mereka hanya sekitar lima peratus, perpaduan kaum di negeri ini amat kukuh. Wakaf Bharu sendiri dihuni masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, Siam dan India," katanya.
Tambah beliau, masyarakat Tionghua di Kelantan lebih memahami batasan agama dalam meraikan perayaan bersama masyarakat Islam.
"Sebagai contoh, jika mengundang umat Islam ke majlis mereka, mereka akan memastikan makanan ditempah daripada penyedia halal serta menyediakan minuman seperti air kotak atau air mineral sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti agama," jelasnya.
Menurutnya lagi, selagi sesuatu perayaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerajaan negeri bersedia untuk turut serta meraikannya bersama masyarakat.
YB Rusli turut menasihati rakyat Kelantan agar tidak terpengaruh dengan persepsi negatif pihak luar yang tidak memahami keharmonian sebenar di negeri ini.
Turut hadir dalam majlis itu, Pegawai Khas Hubungan Antara Kaum Pejabat Menteri Besar Lim Guang Seng dan pemimpin masyarakat setempat.
![]() |
Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Rusli Abdullah |
0 Comments