Oleh Salmah Mat Husain |
PASIR PUTEH:
Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Tahfiz Tok Guru mencatat
kejayaan cemerlang apabila meraih kelulusan 100 peratus peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Dua pelajar memperolehi 9A, enam pelajar (8A), empat pelajar (7A), tiga (6A) dan lima pelajar (5A). Seramai 33 calon menduduki peperiksaan SPM 2025.
Sekolah itu mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) 2.98 serta mendapat pengiktirafan NKRA pada tahap baik, sekaligus menobatkan SMITI Tahfiz Tok Guru sebagai SMITI terbaik di Malaysia.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan sistem pendidikan berteraskan al-Quran dan nilai Islam dalam melahirkan generasi rabbani yang cemerlang.
Katanya, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha berterusan seluruh warga sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar.
“Ini membuktikan pelajar SMITI Tahfiz Tok Guru bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah mampu bersaing dalam akademik arus perdana,” katanya pada majlis Penyerahan Keputusan SPM 2025 di Masjid Ummul Qura semalam.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak leka dengan kejayaan, sebaliknya terus istiqamah menuntut ilmu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat pada masa hadapan.
“Kejayaan ini titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti,” ujarnya.




0 Comments