SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Pelajar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz yang menamatkan Tahun 6 diyakini mampu bersaing dengan pelajar sekolah lain setelah melangkah ke peringkat menengah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Dato Wan Roslan Wan Hamat berkata, selain cemerlang dalam akademik, pelajar SRITI juga dapat mengekalkan imej serta akhlak yang baik.
Katanya kepentingan pendidikan yang seimbang antara akademik dan ilmu agama bagi membentuk generasi berakhlak mulia.
“Sama-sama kita jaga anak-anak, beri pendidikan yang sempurna sebagai persiapan untuk mereka di masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Tahun 6 & Aulad Brilliant SRITI Tahfiz Ibadurrahman, di sebuah hotel di sini, semalam.
Oleh itu beliau berharap kejayaan tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ilmu.
“Tahniah diucapkan kepada semua pelajar, khususnya yang mencapai kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah.
“Setinggi penghargaan diberikan kepada ibu bapa atas sokongan serta dorongan berterusan kepada anak-anak dalam menimba ilmu,” katanya yang juga Adun Pengkalan Kubor.
Wan Roslan turut merakam ucapan tahniah kepada pengurusan SRITI Ibadurrahman kerana berjaya menubuhkan cawangan baharu iaitu SRITI Ibdurrahman Cawangan Wakaf Bharu.
Menurutnya, berkembangnya SRITI bermakna masyarakat semakin peka terhadap pendidikan khususnya berteraskan Islam.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pelancaran perfume keluaran Yayasan Ibadul Rahman, sebagai inisiatif untuk memberi manfaat kepada sekolah serta menyokong perkembangan pendidikan Islam.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRITI Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian berkata, sekolah berkenaan mencapai beberapa kejayaan akademik atau ko-kurikulum.
Menurutnya, antara pencapaian dalam akademik melalui peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) melonjak SRITI Ibadurrahman terbaik di peringkat PPD Tumpat apabila 24 daripada 48 calon memperolehi kesemua A.
Katanya, dalam peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (UPSRITI) pula 22 orang calon straight A kedua terbaik peringkat negeri Kelantan.
“Seorang bekas pelajar SRITI Ahmad Moha Nasir kini belajar di Maahad Ad-dini Qarthubah, Kuwait,” katanya.
Hushaimi turut memberitahu pencapaian Ko-kurikulum pula, SRITI Ibadurrahman dinobatkan johan keseluruhan tiga tahun berturut-turut 2022 ,2023 dan 2024 dalam Kejohanan Sukan dan Olahraga SRITI (KESUGA) Peringkat Negeri Kelantan.
Tambahnya, di peringkat kebangsaan pula memperolehi juara bagi acara bola jaring dan naib johan kategori memanah.
0 Comments