Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN SALUR RM110,500 INSENTIF ATLET PARA SUKMA

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Zamakhshari Muhamad

KOTA BHARU, 19 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan RM110,500 sebagai insentif kepada atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan yang cemerlang dalam Temasya Para SUKMA ke-21 di Sarawak tahun lalu.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, daripada jumlah tersebut, RM85,000 diberikan kepada atlet cemerlang, manakala RM25,500 disalurkan kepada pegawai pengiring.

"Kontinjen Para SUKMA Kelantan berjaya membawa pulang 15 pingat emas, 11 perak dan 17 gangsa, sekali gus menduduki tempat keenam daripada 15 kontinjen yang bertanding.

"Kejayaan ini bukan hanya milik individu, tetapi hasil usaha bersama seluruh pasukan, termasuk atlet, jurulatih, pengurus serta pegawai yang bekerja keras memastikan kejayaan ini," katanya menerusi satu catatan di media sosial pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk terus menyokong pembangunan sukan, khususnya atlet para,j bagi memastikan Kelantan terus melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, YB Zamakhshari menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Pencapaian Cemerlang Kontinjen Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Negeri Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu, pada Isnin.




Post a Comment

0 Comments