Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN KELANTAN BAKAL GUBAL DASAR PERUMAHAN BAHARU RMMK 2025

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA BHARU, 15 Februari – Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) 2025 bakal digubal bagi menggantikan dasar sedia ada yang diperkenalkan pada tahun 2020.

Ia berfokus kepada penyediaan perumahan yang lebih mampu milik, berkualiti dan berdaya huni (liveable), selaras dengan keperluan semasa rakyat negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah yang mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato' Panglima Perang Dato' Mohd Nassuruddin Daud, mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Majlis Penutup Expo Hartanah Kelantan (MAPEX) 2025 di Centre Atrium, KB Mall, di sini, pada Sabtu.

Katanya, dasar perumahan negeri Kelantan dikaji semula setiap lima tahun bagi memastikan ia relevan dengan perkembangan ekonomi, sosio-demografi dan keperluan rakyat.

"RMMK 2025 akan menjadi garis panduan baharu bagi sektor perumahan di negeri ini.

"Dasar baharu ini menekankan pembangunan perumahan yang mampu dimiliki, mencukupi, berkualiti serta berpandukan prinsip Islam, bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Kerajaan Negeri komited dengan matlamat ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’. Oleh itu, RMMK 2025 akan menetapkan syarat serta insentif yang lebih jelas untuk memperkasa pemilikan rumah dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan pameran MAPEX Kelantan, yang kini memasuki edisi ke-26, anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Kelantan, terus menjadi platform utama dalam mempromosikan projek perumahan baharu.

YB Hilmi memaklumkan bahawa tahun ini, sebanyak 2,000 unit hartanah bernilai RM900 juta ditawarkan kepada pembeli, sedikit menurun berbanding 2,600 unit pada tahun lalu dengan nilai keseluruhan RM1.0 bilion.

“Kerajaan Negeri menyokong penuh aktiviti ahli-ahli REHDA yang terdiri daripada pemaju berlesen berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan bahawa, sebagai galakan kepada pembeli, kerajaan negeri turut menawarkan insentif khas kepada orang Melayu bukan anak Kelantan untuk memiliki rumah tanpa perlu menunggu kelulusan Exco, selagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau juga optimis penganjuran MAPEX 2025 dijangka terus menjadi pemangkin kepada industri hartanah negeri ini, sejajar dengan dasar perumahan baharu yang bakal diperkenalkan.



Post a Comment

0 Comments