Ticker

6/recent/ticker-posts

KEDAIFAN HIDUP NURHIDAYAH DAPAT PERHATIAN MAIK

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 9 Mac – Ujian kehidupan Nurhidayah Muhammed Azizan bersama suami dan empat anak kecil yang daif akhirnya mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tampil menghulurkan bantuan menerusi program Ziarah Kasih Ramadan Asnaf MAIK di Kampung Hutan Buloh, Melor, pada Khamis.

Kunjungan yang diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato' Mohd Anis Hussein bersama rombongan itu membawa sinar harapan buat keluarga tersebut yang bergelut dengan kekurangan pendapatan tetap.

Menurut kenyataan MAIK di media sosialnya, Nurhidayah dan keluarganya menerima Bantuan Am sebanyak RM1,600 serta bakul makanan hasil sumbangan pembayar zakat.

"Hari ini pihak MAIK menyampaikan amanah pembayar zakat untuk membantu asnaf fakir dan miskin, dan keluarga Nurhidayah merupakan salah satu penerima bantuan tersebut," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Lebih menggembirakan, pihak MAIK turut mempertimbangkan untuk membina sebuah rumah kediaman baharu bagi keluarga terbabit memandangkan keadaan rumah mereka yang uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.

"Selain itu, anak-anak Nurhidayah yang masih bersekolah juga akan menerima manfaat melalui Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK untuk meringankan beban pendidikan mereka," tambah kenyataan itu.

Program ziarah prihatin itu turut disertai oleh Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli, Pegawai Pengurusan Projek MAIK Ikhwan Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK Siti Farahida Fauzi serta Pegawai Komunikasi Korporat MAIK Muhamad Firdaus Mat Rahim.

Post a Comment

0 Comments