Ticker

6/recent/ticker-posts

TERIMA KASIH DATO' KAYA SETIA, TAHNIAH TENGKU KAYA PERKASA – MENTERI BESAR KELANTAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 9 Mac – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran Muhammad yang bersara hari ini atas jasa dan sumbangannya sepanjang berkhidmat.

Dalam masa yang sama, Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada Pegawai Kewangan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Mohamed Faziharudean Tengku Feisal atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang baharu berkuat kuasa 10 Mac 2025.

Menurut Menteri Besar, sumbangan Dato' Kaya Setia dalam pentadbiran negeri amat dihargai dan akan dikenang.

"Segala jasa dan pandangan yang dikemukakan oleh Dato' Kaya Setia sepanjang beliau menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan amat dihargai dan, insya Allah, akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

"Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan serta nasihat daripada beliau demi kemajuan negeri Kelantan, walaupun sudah bersara. Diharapkan hubungan baik ini tidak terputus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jasamu Dikenang dan Penyerahan Tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Sementara itu, Dato' Nazran Muhammad menyifatkan tempoh hampir tujuh tahun beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai satu pengalaman yang penuh cabaran.

"Alhamdulillah, segala usaha, perancangan dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik hasil kerjasama erat daripada rakan-rakan dalam pentadbiran negeri.

"Dalam setiap keputusan yang dibuat, saya sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan bagi memastikan Kelantan terus membangun dengan acuan dan identitinya sendiri," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian dan kemajuan negeri hari ini adalah hasil usaha bersepadu seluruh jentera pentadbiran yang bekerja tanpa mengenal penat lelah.

Manakala, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Mohamed Faziharudean pula menzahirkan penghargaan atas kepimpinan dan bimbingan Dato' Kaya Setia sepanjang tempoh beliau menerajui pentadbiran negeri.

"Banyak kejayaan yang dicapai di bawah kepimpinan Dato' Kaya Setia. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin tetapi juga seorang mentor, rakan sejawat, dan sumber inspirasi kepada kami semua.

"Keikhlasan, dedikasi serta kebijaksanaan beliau dalam memimpin pentadbiran negeri akan terus menjadi legasi yang diwarisi dan dicontohi.

"Segala kecemerlangan yang diasaskan oleh beliau akan diteruskan dalam pentadbiran negeri Kelantan," katanya.

Untuk rekod, Dato' Nazran Muhammad akan bersara pada 9 Mac 2025 selepas hampir tujuh tahun menerajui pentadbiran negeri sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Bermula 10 Mac 2025, jawatan tersebut akan disandang oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Mohamed Faziharudean Tengku Feisal, manakala Dato' Rosnazli Mohd Amin dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penasihat Undang-Undang Negeri YB Dato' Idham Abdul Ghani, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN), ketua-ketua jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.



Post a Comment

0 Comments