Ticker

6/recent/ticker-posts

FENOMENA BERIFTAR DI DATARAN GUILLEMARD VIEW

Oleh: Norzana Razaly

TANAH MERAH, 9 Mac – Fenomena berbuka puasa di Dataran Guillemard semakin menjadi pilihan masyarakat sekitar.

Ada yang membawa juadah dari rumah, ada juga yang membeli makanan yang dijual di kawasan dataran.

Sambil menunggu waktu berbuka, kanak-kanak bermain riang di taman permainan yang disediakan, menambah keceriaan suasana.

Tatkala mentari senja melabuhkan tirai, suasana di pesisir Sungai Kusial itu berubah menjadi lebih syahdu.

Di tepian Sungai Kelantan yang mengalir tenang, berpuluh keluarga berkumpul, menyantuni Ramadan dengan menikmati juadah berbuka dalam suasana penuh kedamaian.

Bagi Zamzari Mat Yusoff dari Kampung Bukit Nangka, Gual Ipoh, lokasi ikonik itu lebih daripada sekadar tempat bersantai.

Beliau mengakui pusat riadah itu adalah ruang untuk mengukuhkan kasih sayang keluarga, jauh dari hiruk-pikuk bandar.

"Dataran ini memberikan ketenangan bersama keluarga. Suasana sangat indah bila siang bertukar malam.

"Lampu dipasang di sekitar jambatan bemula pukul 7. 00 malam hingga 12.30 tengah malam menambahkan seri, ditambah dengan pokok-pokok hiasan yang semakin mengindahkan pemandangan," katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih istimewa, katanya, tempat berkenaan dijaga dengan baik oleh Majlis Daerah Tanah Merah agar bersih, teratur, dan selesa bagi pengunjung.

Namun, Zamzari berpandangan bahawa kemudahan surau dan tandas awam wajar disediakan segera untuk kemudahan orang ramai yang hadir berbuka dan bersolat di kawasan ini.

"Dataran ini semakin mendapat sambutan. Jika ada surau dan tandas awam, pastinya lebih selesa untuk pengunjung, terutama keluarga yang datang bersama anak kecil," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments