SALMAH MAT HUSAIN
MACHANG: Pesawah di Kelantan tidak perlu lagi menjual padi di negeri lain, memandangkan Kilang Beras Darul Naim akan beroperasi tidak lama lagi.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kilang berkenaan hampir siap dan menunggu kelulusan untuk beroperasi, dijangka tahun ini.
"Kilang tersebut akan membeli padi daripada pesawah-pesawah tempatan dengan harga yang lebih baik.
"Apabila kilang terbabit yang terletak di Meranti Pasir Mas dibuka, ia akan menjimatkan kos dan membantu meningkatkan ekonomi pesawah-pesawah tempatan," katanya di sini.
Menurutnya juga kilang Beras Darul Naim dibina berkonsep kerjasama dengan pelabur luar dan agensi kerajaan negeri bagi memperkukuh bekalan beras negara.
Sementara itu Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kilang itu akan menyokong pengusaha padi tempatan dan memastikan hasil padi dapat dikilangkan di negeri ini.
Kata beliau kilang padi dibangun untuk membantu pesawah-pesawah di Kelantan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Memacu Kehidupan Selamat Tahun Baharu Cina, di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini hari ini.
0 Comments