Ticker

6/recent/ticker-posts

Pihak mana bolot RM150 juta bayaran subsidi

Oleh Dr Azman Ibrahim

SAYA mengikuti dengan teliti setiap penjelasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Parlimen tengah hari semalam.

Ada beberapa point utama yang sempat dicatat:

1. Harga lantai padi dinaikkan daripada RM1300/tan kepada RM1500/tan.

2. Harga beras putih tempatan dikekalkan RM2.60/kg

3. Kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi tempoh 6 bulan sebagai bayaran subsidi untuk mengekalkan harga beras putih tempatan pada harga RM2.60.

Kita tengok dalam tempoh enam bulan ini, apakah kesan pengumuman tersebut kepada perjalanan sektor padi dan beras negara walau pun dua isu utama yang menjadi dilema rakyat belum terjawab dalam penjelasan semalam. 


1. Isu kehilangan beras putih tempatan di pasaran

2. Isu kebajikan petani

Kita juga perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan harga lantai padi dan kajian trend pasaran sebelum ini.

Ketika harga lantai padi RM1300/tan pada musim lepas, rata-rata kilang padi sudah membeli padi dengan harga melebihi RM1500/tan. 

Bagi musim kedua tahun 2024 purata harga padi di kilang-kilang padi Terengganu ialah RM1550/tan. Di beberapa negeri lain, harga belian padi mencecah antara RM1800-RM2000/tan. 

Berdasarkan senario trend pembelian padi dan pasaran beras sebelum ini, saya boleh menjangkakan pengumuman harga lantai padi RM1500/tan tidak akan banyak memberikan impak kepada pemain industri terbabit terutama pesawah kerana faktanya padi sudah dibeli melebihi paras harga lantai ditetap kerajaan. 



Soalan seterusnya, sebelum ini siapakah yang memainkan peranan sehingga beras tempatan hampir lenyap terus di pasaran?

Walau siapa pun mereka, faktanya ialah, pihak industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban dipikul rakyat dan pengguna.


Sekarang diumumkan kerajaan  menyediakan subsidi RM150 juta dalam tempoh enam bulan demi untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60 tanpa berlaku sebarang kenaikan. 

Kepada siapakah subsidi itu akan dibayar. Tentu sekali bukan kepada pesawah. Saya faham, mereka yang akan dapat manfaat RM150 juta ialah pihak industri yang sebelum ini sudah mengaut keuntungan daripada manipulasi beras tempatan kepada beras import. 

Sebelum ini mereka untung besar dan sekarang mereka juga bakal untung besar.

Post a Comment

0 Comments