Ticker

6/recent/ticker-posts

Madinah Ramadan sempena 2 dekad Bandar Raya Islam



SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Program Madinah Ramadan tahun ini bertema 'Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam' yang akan turut mengetengahkan pameran berkonsep muzium.


Pameran sejarah negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI)  akan diketengahkan kepada pengunjung yang berkunjung ke Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV. 


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, Madinah Ramadan mampu menempatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa.


Katanya dijangka seramai 100,000 pengunjung akan hadir memeriahkan Madinah Ramadan yang akan  beroperasi sepanjang  Ramadan ini.


"Antara pengisiannya program berbuka puasa, solat sunat tarawih diimamkan dua imam dari Mesir iaitu Syeikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh serta Syeikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed," katanya ketika melawat tapak dan khemah Bazar Ramadan, di sini semalam.


Menurutnya juga sebanyak  RM1.8 juta diperuntukan bagi menjayakan program Madinah Ramadan tahun ini.


Kata beliau kos tahun ini bertambah berbanding tahun-tahun lepas kerana sambutan 'Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam'.


Hilmi juga berkata,  kerja-kerja menyediakan prasarana di Madinah Ramadan sekarang mencapai 70 peratus termasuk kesediaan tapak, pemasangan khemah dan sebagainya.


Menurutnya juga unit pengurusan sampah negeri akan bekerja lebih masa dalam usaha untuk menjaga kebersihan di bazar Ramadan. 


"Kita berharap peniaga bazar sentiasa menjaga kebersihan sekitar gerai dan tidak memanaskan semula makanan yang dijual bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Post a Comment

0 Comments