Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: FB YB Hilmi Abdullah
KOTA BHARU, 21 Februari – Hospital bukan sekadar pusat rawatan, tetapi juga medan dakwah bagi para doktor dalam membimbing pesakit kembali kepada cara hidup Islam serta memahami konsep reda dan sabar dalam menghadapi ujian kesihatan.
Demikian ditekankan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah, ketika merasmikan Kursus House Officer Preparatory Courseo (HOPE) 2025 anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa ketekunan dalam menunaikan tugas sebagai doktor bukan hanya satu tanggungjawab terhadap kerjaya dan negara, tetapi juga suatu peluang beribadah kepada Allah SWT.
Menurutnya, ruang bagi doktor untuk berinfaq dan berdakwah dalam persekitaran hospital amat luas, dan ganjaran pahala bagi mereka yang menyantuni pesakit serta menyebarkan ilmu kesihatan berlandaskan nilai Islam sangat besar di sisi Allah.
“Kita mahu melihat para doktor bukan sahaja cemerlang dalam bidang perubatan, tetapi juga berperanan sebagai dai’e yang mengajak pesakit memahami hikmah di sebalik setiap ketentuan Allah.
"Inilah tanggungjawab yang lebih besar, memberi manfaat bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kursus HOPE 2025 bertujuan memberi pendedahan awal kepada hampir 100 bakal pegawai perubatan siswazah dari seluruh negara yang bakal menjalani latihan housemanship selama dua tahun di bawah pemantauan doktor pakar.
Program itu diadakan bagi membantu graduan perubatan meningkatkan keyakinan serta kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi cabaran di medan sebenar.
Turut hadir, Setiausaha PAPISMA Malaysia Dr. Azaharim Omar; Pengerusi PAPISMA Kelantan Dr. Mohammad Najmi Ahmad dan Pengarah HOPE 2025 Dr. Muhamad Urfi Omar Hamdan.
YB Hilmi dan seluruh Jawatankuasa PAPISMA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua bakal doktor yang bakal berkhidmat untuk agama, bangsa, dan negara.
0 Comments