Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 2 Februari - Masyarakat Kelantan adalah antara yang tertua di Malaysia, kata Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan memaklumkan bahawa perkara tersebut merupakan satu penemuan yang menarik dalam sejarah Negeri Kelantan.
Menurutnya, kajian saintifik mendapati masyarakat Kelantan adalah masyarakat tertua di Malaysia.
"Penemuan fosil manusia berusia 16,000 tahun di Gua Kledung, Jeli, pada hujung tahun 2023 telah mengukuhkan lagi bahawa Kelantan mempunyai sejarah yang panjang dan unik, sekali gus menyokong kajian yang mengatakan masyarakat Kelantan adalah masyarakat tertua di Malaysia", katanya menerusi catatan di media sosial miliknya, hari ini.
Menurut beliau, penemuan-penemuan tersebut akan menambah kefahaman masyarakat terhadap sejarah Kelantan serta memainkan peranan yang penting dalam memperkukuhkan identiti dan perpaduan masyarakat.
"Apabila kita memahami akar sejarah serta asal usul kita, maka kita akan lebih menghargai warisan yang telah membentuk jati diri Negeri Kelantan," katanya.
Terdahulu, YB Zamakhshari menghadiri Seminar Pengajian Sejarah Kelantan Siri 3, 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Seminar anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelantan itu merupakan program ilmiah yang membincangkan sejarah dan asal usul masyarakat Kelantan.
Seminar yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D'Raja, Dato' Dr Mohd Amar Abdullah itu menampilkan tiga ahli panel yang terdiri daripada latar belakang akademik dan penyelidikan.
Mereka ialah Muhamad Nuraidi Zakaria dari Persatuan Pencinta Sejarah, Pegawai Tadbir (Protokol) Istana Kelantan Dr Mohamad Safarudin Ismail dan Muhamad Fadhli Ghani dari Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
0 Comments