Oleh Dr Azman Ibrahim
KILANG padi milik bumiputera sekarang hanya tinggal sembilan yang aktif berbanding 127 sebelum ini.
Isu ini berlaku kerana kerajaan hanya tentukan harga lantai padi RM1300/tan tetapi harga siling tidak ditetapkan. Ini bermakna pengilang hanya disyaratkan beli padi tidak kurang daripada harga minima RM1300.
Terpulanglah nak beli berapa mahal sekalipun, ia dibenarkan.
Manakala harga beras tempatan masih kekal RM2.60/kg, namun harga beras import pula tidak dkawal.
Sedangkan dalam persaingan untuk mendapatkan bekalan padi, kilang-kilang bukan bumiputera menawarkan harga belian padi yang tinggi sehingga mencecah RM2000/tan.
Dengan harga belian padi tersebut beras tidak akan mampu dijual dengan harga RM2.60/kg. Maka bagaimana kilang nak untung.
Apabila beli padi dengan harga tinggi, kilang-kilang terbabit mendapatkan keuntungan dengan cara menjenamakan beras tempatan keluaran mereka sebagai beras import sama ada dengan mencampurkan beras import atau beras tempatan sepenuhnya tetapi dilabelkan sebagai import.
Dengan ini mereka boleh jual dengan harga tinggi tanpa kawalan.
Kilang-kilang bumiputera yang nak berlaku jujur tentunya akan tersepit. Kalau mereka beli padi dengan harga rendah, maka mereka tak akan mendapat bekalan padi.
Maka untuk bersaing dengan kilang-kilang besar bukan bumiputera, mereka juga perlu menawarkan harga belian padi yang tinggi. Namun beras tempatan keluaran mereka perlu dijual dengan harga kawalan RM2.60/kg. Ini sudah tentu akan merugikan.
Oleh itu Kerajaan Terengganu dan PAS mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan seiring dengan peningkatan kos pengeluaran sekarang.
Harga lantai sekitar RM1500-RM1800 adalah lebih munasabah. Dalam masa yang sama, harga beras tempatan RM2.60 sejak 16 tahun lalu perlu dinaikkan sedikit kepada paras sekitar RM3/kg.
Ia lebih baik daripada situasi sekarang di mana beras tempatan dijenamakan sebagai beras import dan dijual melebihi RM4/kg.
Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu mengambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera.
0 Comments