Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 3 Februari- Penghulu di negeri ini mesti beriltizam dan sentiasa komited bersama Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengembangkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) kepada rakyat melalui Penghayatan Dasar Membangun Bersama Islam (PMBI), kata Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penghulu Negeri Kelantan berkata, rakyat mesti faham dan menghayati dasar MBI yang telah diperkenalkan oleh semua Menteri Besar, bermula dengan al-marhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassurudin Daud.
"Sebelum ini, apabila disebut tentang Membangun Bersama Islam , ia hanya diwajibkan dan berlegar dalam kalangan kakitangan kerajaan sahaja tetapi rakyat tidak mengetahui dan memahaminya.
"Oleh itu, kita mahu para penghulu bersama kerajaan untuk mengembangkan Dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam ini kepada rakyat. Dengan PMBI ini, akan lahirlah dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dan dasar Komuniti Rabbani Kelantan (K-RABB) yang mana dengan dasar-dasar ini menjadikan rakyat Kelantan bersifat Rabbani iaitu berilmu, beramal, baik hubungan dengan Allah dan menjadi pemimpin kepada masyarakat."
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian Watikah Pelantikan Penghulu Negeri Kelantan 2025, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, hari ini.
Dalam majlis tersebut seramai 879 orang penghulu menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh YB Timbalan Menteri Besar. Seramai 636 orang daripadanya merupakan penghulu mukim manakala 235 orang merupakan penghulu tanpa mukim.
Daripada 879 orang tersebut, seramai 48 orang adalah pemegang ijazah manakala 54 orang pemegang diploma dan selebihnya pemegang pelbagai kelulusan.
Watikah pelantikan tersebut terlebih dahulu diserahkan kepada Ketua Jajahan dan wakil Ketua Jajahan untuk diserahkan kepada penghulu di jajahan masing-masing.
Mengulas mengenai watikah pelantikan tersebut, Dato' Dr Fadzli berkata, ia merupakan satu simbol yang menunjukkan seseorang itu telah menerima satu amanah yang besar untuk dipikul.
"Apabila kita menerima amanah yang besar, bermakna kita menjunjung satu tugas yang besar dan ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Oleh itu kita harap para penghulu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin kerana penghulu juga merupakan wakil kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Jangan sampai kerajaan yang kita jaga hari ini menjadi lemah disebabkan lemahnya kita sebagai seorang penghulu, jangan sampai orang marah kepada kerajaan disebabkan marah kepada penghulu dan jangan sampai ada orang nak jatuhkan kerajaan yang ada sekarang ini kerana marahkan kepada penghulu dan wakil rakyat," pesannya.
Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Kelantan Dato' Sri Amar D'Raja, Dato' Dr Mohd Amar Abdullah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Pengerusi Majlis Penghulu Negeri Kelantan YB Che Huzaimy Che Husin, Pengarah Urus Setia Pembangunan Penghulu Zulkifli Mamat, Ketua Jajahan dan wakil Ketua Jajahan serta Ahli Majlis Penghulu Negeri Kelantan.
0 Comments