Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 3 Februari – Kelantan terus komited melahirkan lebih banyak idea baharu dan kreatif demi memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan, cekap, dan responsif terhadap keperluan semasa melalui program Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan 2024.
Tahun 2024 mencatat sejarah tersendiri apabila sebanyak 34 kumpulan bersaing hebat dalam merebut Anugerah Inovasi Negeri Kelantan, sekali gus menunjukkan peningkatan budaya inovasi yang semakin subur dalam kalangan jabatan dan agensi negeri.
Pertandingan tersebut merangkumi empat kategori utama iaitu Inovasi Pengurusan Kewangan, Inovasi Pentadbiran Tanah dan Jajahan, Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Selain itu, 17 kumpulan lagi turut menyahut cabaran dalam Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu, yang menjadi platform penting untuk mengetengahkan idea-idea baharu yang mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Nazran Muhammad |
Peningkatan tersebut membukti bahawa budaya inovasi bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan dalam bentuk pencapaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Nazran Muhammad, dalam ucapan perasmiannya di Majlis Sambutan Hari Inovasi 2025 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim hari ini, merakamkan penghargaan atas penyertaan yang memberangsangkan.
"Syabas kepada semua peserta yang berani menyahut cabaran ini. Sambutan Hari Inovasi yang dianjurkan saban tahun sejak 2010 mencerminkan komitmen tinggi dalam membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kerja harian," katanya.
Menurut beliau, inovasi adalah kunci utama dalam memastikan setiap jabatan dan agensi negeri berada di landasan paling efisien dan efektif demi menjamin perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Inovasi bermaksud memperkenalkan kaedah, sistem, adat atau proses baharu. Dalam konteks perkhidmatan awam, ia ditafsirkan sebagai usaha mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan," jelasnya.
Antara kejayaan yang paling mencuri tumpuan ialah kecemerlangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) yang terus mengungguli Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) buat kali kelima berturut-turut.
Tahun ini, MDPP memperkenalkan inovasi MWS Cutter, sebuah alat asimilasi jengkaut dan gergaji berantai yang direka khusus untuk memudahkan kerja pemotongan dahan pokok.
Yang Dipertua MDPP, Mohd Rosdi Ismail berkata, inovasi tersebut dibangunkan oleh lapan ahli pasukan Millenia White Sand (MWS) dengan bimbingan seorang fasilitator bermula pada Oktober 2023 dan siap sepenuhnya pada Februari 2024.
"Projek kesembilan ini direka untuk kegunaan bahagian landskap dan terbukti dapat mengurangkan kos penyelenggaraan secara signifikan," katanya.
Dalam kategori Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) muncul sebagai johan menerusi inovasi Sistem e-Agihan, yang direka untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan agihan dana zakat secara digital.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Unit Tentera Kelantan, diwakili pasukan SNIPER pula meraih penarafan 5 bintang dalam KIK Horizon Baharu 2024 menerusi inovasi i-AD.
0 Comments