Ticker

6/recent/ticker-posts

JAMBATAN GUILLEMARD SOHOR KINI, PULUHAN PASANGAN RAJA SEHARI ABADIKAN MOMEN INDAH

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Tik Tok YB Bahari Mohamad Nor

TANAH MERAH, 3 Februari – Taman Rekreasi Dataran Guillemard View menjadi sohor kini apabila puluhan pasangan pengantin dari seluruh negeri hadir untuk merakam momen indah mereka berlatarbelakangkan jambatan bersejarah yang berusia lebih 100 tahun itu.

Fenomena tersebut mencuri perhatian ramai dengan tumpuan luar biasa sehingga tular di media sosial.

Pemandangan pasangan berpakaian indah dalam busana perkahwinan, berlatarbelakangkan keindahan panorama jambatan, mencipta suasana penuh nostalgik dan romantis dirakam mulai pagi hingga senja.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh, YB Bahari Mohamad Nor, memaklumkan bahawa trend tersebut semakin berkembang sejak pembinaan Dataran Guillemard View, yang memberikan kemudahan serta ruang bergambar yang lebih selesa dan menarik kepada pengunjung, terutamanya pasangan raja sehari.

“Sebelum ini, pasangan pengantin dan mempelai terpaksa mengambil gambar di atas landasan jambatan yang agak berbahaya kerana tiada kawasan lapang yang sesuai.

"Namun, selepas Dataran Guillemard View siap dibina, mereka dapat memilih sudut yang lebih kreatif dengan latar belakang jambatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa yang sama, pihak Railway Assets Corporation (RAC) turut memainkan peranan dengan membina benteng keselamatan bagi mengelakkan pencerobohan ke trek rel.

Menariknya, benteng itu turut berfungsi sebagai latar belakang bergambar yang estetik, seiring dengan nilai sejarah jambatan tersebut.

“Bukan sekadar benteng keselamatan, ia juga simbolik kepada usia jambatan yang sudah mencecah satu abad.

Benteng penghalang pencerobohan trek rel yang juga memaparkan papan tanda 100 tahun usia jambatan.

"Benteng ini menambah elemen visual yang menarik untuk pengunjung merakam kenangan mereka,” jelas YB Bahari lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Daerah Tanah Merah yang telah menaik taraf kawasan tersebut dengan pelbagai inisiatif promosi pelancongan melalui Tourism Information Centre (TIC).

“Terima kasih juga kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan RAC sebagai rakan strategik yang membantu menjayakan usaha ini. Kehadiran ramai pengunjung bukan sahaja mempopularkan kawasan ini tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.

YB Bahari turut menyarankan agar pengusaha perniagaan bridal dan perancang perkahwinan (wedding planner) membuka premis di kawasan berdekatan, khususnya di Kusial Baru.

“Ini peluang untuk menyediakan perkhidmatan sewaan busana tradisional Melayu kepada pasangan pengantin atau pelancong yang ingin merakam kenangan mereka di sini. Ia juga satu cara mempromosikan budaya kita, sama seperti populariti kimono di Jepun,” ujarnya lagi.




@baharimohamadnor

♬ Selamat Pengantin Baru 4 - Instrumental

Post a Comment

0 Comments