Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 12 Februari – Pasukan Pengkalan Kubor dinobat sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kelantan 2024 selepas menewaskan Chetok 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final di Stadium Sultan Muhammad IV (SSM IV) malam tadi.
Kejohanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit perlawanan sebenar.
Penjaga gol Pengkalan Kubor Muhammad Haikal menjadi wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Chetok Faiz Husin dan Mohd Zafir sekali gus memastikan kemenangan dramatik buat pasukannya.
Seawal babak pertama, Pengkalan Kubor menguasai permainan dan hampir membuka jaringan pada minit ke-7 menerusi sepakan percuma kapten pasukan Haziq Subri.
Namun, percubaannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Chetok Azri Haikal.
Chetok turut mencipta peluang pada minit ke-16, namun rembatan deras Aiman sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol Pengkalan Kubor.
Tiga minit kemudian, giliran Sharil Aidiel menguji benteng lawan, tetapi percubaan kaki kanannya melambung melepasi palang gol.
Babak pertama berakhir dengan kedudukan seri, 0-0.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari jaringan, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan perlawanan berakhir tanpa sebarang gol.
Hampir 5,000 penyokong yang hadir di stadium terus menanti dengan penuh debaran sebelum pemenang akhirnya ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Dalam aksi mendebarkan itu, empat pemain Pengkalan Kubor berjaya menyempurnakan sepakan penalti, berbanding hanya tiga pemain Chetok, sekali gus menghadiahkan kemenangan 4-3 kepada pasukan dari Tumpat tersebut.
Sebagai juara, Pengkalan Kubor membawa pulang wang tunai RM6,000, piala pusingan dan pingat.
Manakala naib juara, Chetok meraih RM4,000 berserta pingat.
Pasukan Pasir Pekan dan Kemuning yang berkongsi tempat ketiga masing-masing menerima RM3,000 dan pingat.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menerusi hantaran di media sosial, Menteri Besar menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan ini, sambil menyifatkan ia sebagai platform penting untuk memartabatkan sukan bola sepak di Kelantan serta mencungkil bakat-bakat muda berpotensi.
"Tahniah kepada pasukan Pengkalan Kubor yang muncul juara.
"Semoga kejohanan ini terus menjadi pentas untuk melahirkan bakat baharu serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anak muda," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor yang juga Exco Kerajaan Negeri YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat mengumumkan tambahan insentif RM5,000 kepada pasukan yang muncul juara.
"Insya Allah, kita tambah RM5,000 lagi. Sebelum perlawanan akhir pun kita sudah beri RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM16,000.
"Kita serahkan kepada pengurusan pasukan untuk menguruskan hadiah tersebut," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, semalam.
Turut hadir, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad, ADN Chetok, YB Zuraidin Abdullah serta Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BES) Kamal Muhammad.
0 Comments