Ticker

6/recent/ticker-posts

TRIBUT SEDEKAD PEMERGIAN TOK GURU, LEGASI PERJUANGAN TAKKAN LUPUT

(Memoir catatan YB Fadzli dan YB Fadhli) 

Oleh: Norzana Razaly

"Teruskan perjuangan ambo selepas ambo tiada..."

Hari ini, 12 Februari 2025 genap sedekad pemergian almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru). 

Sepuluh tahun berlalu, namun namanya tetap segar dalam ingatan, perjuangannya terus menjadi obor pedoman, dan keperibadiannya kekal sebagai sumber inspirasi rakyat Kelantan dan umat Islam seluruhnya.

Sebagai pemimpin, Tok Guru ialah Menteri Besar yang mentadbir negeri sekali gus murabbi ummah yang membimbing rakyat dengan ilmu, akhlak dan ketakwaan. Islam yang diperjuang di atas mimbar kemudian diterjemah ke dalam setiap aspek kehidupan. Dari siasah hingga iktisad, dari pendidikan hingga kesejahteraan rakyat.

Slogan "Membangun Bersama Islam" bukanlah retorik, ia sebuah prinsip yang dipegang teguh dalam setiap keputusan dan dasar yang beliau laksanakan. Ketika dunia politik sering dikaburi kepentingan peribadi, Tok Guru hadir dengan kesederhanaan dan integriti, membuktikan bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan untuk bermegah.

Hari ini, kita berdiri di persimpangan sejarah. Sepuluh tahun pasca kepergian Tok Guru, adakah kita masih menghayati ajarannya atau hanya mengenangnya sebagai nostalgia? Adakah roh perjuangannya masih hidup di dalam jiwa kita, atau hanya tinggal sebagai catatan di dalam sejarah?

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, dalam tulisannya di laman sosial, mengingatkan bahawa, 

"Beliau telah pergi menghadap Ilahi, tetapi segala ilmu, tarbiah dan wasiatnya kekal menjadi pedoman buat kita semua. Jika kita benar-benar kasihkan Tok Guru, teruskan perjuangannya, hayati ajarannya dan amalkan segala ilmu yang dicurahkan."

Dari kanan, ATGNA, TMB dan Dr Sam

Mengenang Tok Guru bukan sekadar mengenang sosok tubuhnya, tetapi menghidupkan nilai dan prinsip yang diperjuangkannya. Jika kita hanya mewarisi namanya tanpa menghidupkan roh perjuangannya, kita telah mengkhianati wasiatnya.

“Tok Guru pernah menelefon saya pukul 5 pagi. Saya rasa tujuan sebenarnya ialah beliau mahu pastikan saya sudah bangun, waktu itu.”

Tok Guru telah pergi, tetapi tanggungjawab kita belum selesai. Sepuluh tahun adalah satu jarak yang relatif panjang, namun warisan perjuangan beliau akan terus hidup selagi ada insan yang sudi menyambungnya.

Mengenang 10 Tahun Perginya Murabbi Ummah
Dalam pelayaran sejarah umat, ada sosok yang bukan sekadar melintas pada lembaran waktu, sebaliknya bersemayam abadi di jiwa mereka yang mencintai perjuangan Islam. Beliaulah Tok Guru kesayangan kita, ulama haraki yang jasadnya telah pergi, namun ruh perjuangannya tetap segar, mengalir di dalam nadi mereka yang meneruskan cita-citanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari turut mencoret kenangan dan penghormatannya kepada almarhum menerusi catatan di laman sosial.

"Beliau bukan sekadar seorang alim yang faqih dalam hukum, tetapi seorang negarawan rabbani yang mendambakan Islam berdaulat di tanah air ini. Cita-citanya bukan kecil, impiannya bukan rapuh, dalam setiap lafaz khutbah, dalam setiap bait pidatonya, terungkap hasrat besar seorang pejuang yang mahu melihat Islam tegak sebagai dasar negara, sebagai cahaya yang menyuluhi ummah.

“Sepuluh tahun telah berlalu sejak perginya sang murabbi ini, namun wajah teduhnya masih membayangi hati. Suaranya masih bergetar dalam ingatan, menasihati dengan hikmah, membimbing dengan kasih. Alangkah jarangnya lahir dalam sejarah seorang ulama yang bukan sekadar memimpin solat, tetapi memimpin ummah dengan kefaqihan dan ketajaman siasah."

Bagi YB Ahmad Fadhli, pengalaman berkhidmat dengan Tok Guru adalah antara detik paling berharga dalam hidupnya.

"Melihat kezuhudannya, mendengar nasihatnya, menyaksikan perjuangannya dari dekat, semuanya menjadi madrasah kehidupan yang membentuk pemikiran dan jalan perjuangan saya hari ini.

"Saya bersyukur, kerana Allah telah memberi kesempatan itu, walau seketika, untuk saya belajar dari seorang murabbi agung yang tiada duanya di dalam zaman ini. Hari ini, warisan perjuangannya terus berdenyut di dada mereka yang menyambung tugasnya.

"Meskipun jasadnya telah kembali ke pangkuan Ilahi, cita-citanya tidak pernah sirna. Islam yang diperjuangkannya terus meniti jalan menuju puncak kejayaan, meski arus mehnah cuba menghalang.

“Doa dan harapan terus dititipkan buat almarhum, "Ya Allah, pada hari genap sepuluh tahun pemergiannya, kami bermunajat kepada-Mu. Ampunilah segala dosa-dosanya, lapangkanlah kuburnya dengan cahaya rahmat-Mu, angkatkan darjatnya bersama para anbiya’ dan siddiqin. Jadikanlah perjuangannya yang suci ini terus bersemi, agar kami tetap bernafas dalam cita-citanya, dan Islam kembali berdaulat di bumi ini."

Tok Guru telah berpulangan ke hadrat Ilahi, tetapi amanah perjuangannya lestari. Sudah 36,500 hari berlalu, dan masa akan terus berlari laju, selagi ada yang berani menyambung legasinya, selagi itu namanya kekal bersemadi di hati.

Bak kata, meski jasadnya tiada di mata, namun di jiwa seperti sediakala.

"Teruskan perjuangan ambo selepas ambo tiada..." – Kata-kata ini bukan hanya pesanan biasa, tetapi satu amanah yang mesti kita galas bersama.

Post a Comment

0 Comments