Ticker

6/recent/ticker-posts

PERJUANGAN BERASASKAN BANGSA TIDAK AKAN BERJAYA – YB DR KHALIL

Oleh: Asri Hamat

MACHANG, 10 Februari – Perjuangan berasaskan bangsa tidak akan mencapai kejayaan, sebaliknya kejayaan hanya diperoleh melalui perjuangan berteraskan agama.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, YB Dr Mohd Khalil Abdul Hadi berkata sejarah membuktikan bahawa perjuangan negara-negara Arab berasaskan nasionalisme gagal membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman zionis Israel selama lebih empat dekad.

"Sejak negara haram Israel ditubuhkan pada 1948, negara-negara Arab yang berjuang atas dasar kebangsaan menemui kegagalan.

"Peperangan pada tahun 1948, 1967 dan 1978 menunjukkan bahawa perjuangan atas dasar bangsa tidak dapat membebaskan Baitulmaqdis daripada penjajahan zionis Israel laknatullah," katanya.

Beliau menegaskan bahawa hanya perjuangan berasaskan agama mampu membebaskan bumi Palestin, seperti yang dilakukan oleh kumpulan Islam seperti Hamas, Jihad Islam dan Hizbullah yang menegakkan jihad sebagai jalan utama.

Dr. Khalil berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Himpunan Sejuta Ummah Cintakan Al-Quds, sempena Minggu Al-Quds Sedunia 2025, di Dataran Kemahkotaan, Machang, pada Sabtu.

Tambahnya, perjuangan rakyat Malaysia untuk membebaskan Baitulmaqdis berbeza dengan rakyat Palestin, namun tetap berperanan penting dalam jihad global.

"Konsep jihad sangat luas. Kita berpegang kepada prinsip bahawa di mana bumi dipijak, di situ kita wajib berjihad pada jalan Allah, khususnya dalam usaha membebaskan Baitulmaqdis.

"Saudara kita di Palestin berjihad dengan senjata, manakala kita di Malaysia berjuang dengan doa dan solidariti.

"Antara jihad kita adalah menganjurkan program kesedaran, ceramah, forum dan kuliah bagi memastikan umat Islam memahami bahawa tidak ada jalan lain untuk membebaskan Baitulmaqdis melainkan melalui jihad fi sabilillah," jelasnya.

Katanya lagi, sejak konflik 7 Oktober 2023, rakyat Malaysia terus menunjukkan sokongan padu kepada Palestin menerusi pelbagai inisiatif kesedaran dan solidariti.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Al-Quds Malaysia Dr Syarif Abu Syamalah menegaskan bahawa tiga rancangan Israel di Gaza gagal mencapai matlamatnya.

"Israel gagal menghapuskan Hamas kerana mereka tidak pernah mengangkat bendera putih dan terus berjuang untuk membebaskan bumi Palestin.

"Kegagalan kedua Israel ialah mengosongkan Gaza daripada penduduknya. Ratusan ribu rakyat Gaza yang berada di selatan kini kembali ke kampung halaman mereka kerana yakin bahawa tanah Gaza dimuliakan dengan darah para syuhada.

"Israel juga gagal membebaskan rakyat mereka yang ditawan oleh pejuang Palestin tanpa sebarang tawaran atau bayaran. Mereka terpaksa menukar tahanan dengan ratusan rakyat Palestin yang telah lama meringkuk dalam penjara Israel," ujarnya.

Majlis berkenaan dihadiri ribuan umat Islam sekali gus membuktikan solidariti mereka terhadap perjuangan membebaskan Baitulmaqdis dan menolak penjajahan zionis Israel di bumi Palestin.

Post a Comment

0 Comments