SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Sokongan serta bantuan keluarga terdekat amat diperlukan bagi membantu individu yang berdepan dengan penyakit kanser.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, kata-kata semangat dapat memberi motivasi kepada pesakit.
"Kanser memerlukan rawatan rumit, malah pesakit sering mengalami pelbagai gejala fizikal serta emosi," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri di Audutorium Hospital Sultanah Zainab ll (HPRZ ll), di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin dan Kolonel Bersekutu, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.
Tema Hari Kanser Sedunia tahun ini, “United By Unique/Bersatu Dengan Keunikan”, bertujuan memahami keunikan serta cabaran setiap individu dalam perjuangan melawan kanser.
Abdul Rahman juga berkata, program tersebut menjadi platform terbaik untuk menyatukan masyarakat dalam usaha membendung penyakit berkenaan yang semakin meningkat.
Katanya, pogram itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran masyarakat mengenai kanser serta menggalakkan pencegahan, pengesanan awal, dan rawatan.
"Merawat kanser sememangnya sukar, namun merawat emosi penghidapnya adalah cabaran besar, bukan hanya kepada pesakit tetapi juga kepada keluarga mereka.
"Ketakutan dan ketidakpastian tentang masa depan adalah antara emosi biasa yang dialami selepas disahkan menghidap kanser," tambahnya.
Sehubungan itu, kata beliau program seperti itu dapat memberikan pesakit keyakinan mereka tidak berseorangan dalam meneruskan kehidupan harian.
Pada sambutan kali ini, seramai 150 pesakit kanser dari seluruh Kelantan diraikan, mereka terdiri daripada pesakit kanser payudara, usus, ovari/serviks, paru-paru, dan darah.
0 Comments