Ticker

6/recent/ticker-posts

SISTEM E-JARIAH MUDAHKAN MASYARAKAT BERSEDEKAH SECARA ATAS TALIAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 22 Februari – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus memperkasa mekanisme penyampaian perkhidmatan dengan melancarkan Sistem eJariah Masjid.

Ia satu platform digital yang membolehkan masyarakat menyumbang secara atas talian dengan lebih mudah, telus dan selamat.

Sistem tersebut membolehkan orang ramai bersedekah kepada 621 masjid di seluruh Kelantan, merangkumi dua kategori utama iaitu Masjid Negeri, Masjid Bandar dan Jajahan, serta Masjid Mukim.

Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, menyatakan bahawa sistem berkenaan dibangunkan dengan kerjasama SecurePay Sdn. Bhd. melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

“Melalui mod pembayaran FPX, platform ini menyediakan pilihan kepada pengguna untuk membuat carian masjid mengikut jajahan dan mukim serta melaksanakan transaksi sedekah dengan hanya beberapa langkah mudah.

"Sistem ini bukan sahaja memperkemaskan pengurusan sumbangan tetapi juga memastikan ketelusan dalam pengagihan dana ke masjid-masjid yang dipilih,” katanya dalam Majlis Sidang Media Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK 2024 di sebuah hotel, pada Khamis.

Menurutnya, sistem eJariah Masjid bertindak sebagai One Stop Centre bagi transaksi sedekah secara digital, membolehkan sumbangan dibuat dalam satu masa ke beberapa masjid pilihan dengan hanya satu kadar caj transaksi dikenakan.

“Platform ini dibangunkan bagi memudahkan orang ramai bersedekah secara sistematik dan berautoriti, meningkatkan tabungan masjid serta menyediakan e-perkhidmatan yang boleh diakses dengan mudah, telus dan selamat,” jelasnya.

Selain itu, dashboard pemantauan sedekah turut disediakan bagi membolehkan pihak pengurusan MAIK meneliti setiap transaksi yang dibuat oleh penyumbang, sekali gus memastikan dana digunakan secara optimum bagi keperluan masjid.

Post a Comment

0 Comments