Ticker

6/recent/ticker-posts

KOTA BHARU BANDARAYA ISLAM, TEMA MADINAH RAMADAN 1446H

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 23 Februari – Madinah Ramadan 1446H mengangkat tema Kota Bharu Bandaraya Islam bersempena ulang tahun ke-20 pengisytiharan bandar itu sebagai Bandaraya Islam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata pemilihan tema tersebut bertujuan mengukuhkan identiti Kota Bharu sebagai pusat perkembangan Islam serta memberi kesedaran sejarah kepada generasi muda.

“Pada tahun lalu, kita memilih tema Cintakan Palestin sebagai solidariti terhadap saudara seagama di Palestin dengan menghiasi khemah-khemah Madinah Ramadan dengan bendera Palestin.

"Tahun ini, kita tonjolkan kelainan dengan memperkenalkan elemen sejarah yang menampilkan dokumen dan arkib perkembangan Kota Bharu sejak sebelum era Membangun Bersama Islam sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Taklimat dan Simulasi Bidang Tugas Amilin dan Amilat Madinah Ramadan 1446H/2025M di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu, pada Sabtu.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja menambah daya tarikan baharu di Madinah Ramadan bahkan memberikan pendedahan kepada warga Kota Bharu, khususnya golongan muda, mengenai sejarah serta perubahan besar yang berlaku sejak kepimpinan Allahyarham Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat hingga ke hari ini.

Katanya, Madinah Ramadan, yang dicetuskan lebih tiga dekad lalu oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, bermula sebagai khemah Ramadan berhampiran stesen bas Kota Bharu.

"Ia kemudiannya berpindah ke Dataran Stadium Sultan Muhammad IV dengan nama Qaryah Ramadan sebelum dikenali sebagai Madinah Ramadan seperti hari ini," jelasnya.

Mengulas mengenai peranan amilin dan amilat, YB Hilmi menegaskan bahawa mereka merupakan duta kepada Madinah Ramadan yang bertanggungjawab menyambut serta membantu pengunjung yang hadir.

“Mereka adalah wajah pertama yang ditemui pengunjung. Oleh itu, layanan yang baik, senyuman dan kesabaran sangat penting agar mereka merasa selesa dan kembali lagi.

"Ikhlaskan niat dalam berkhidmat kerana ganjaran di sisi Allah amat besar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Seranta Amilin dan Amilat Madinah Ramadan, Che Kamaruzaman Che Ibrahim, memaklumkan bahawa pihak pengurusan turut menyediakan pusat jagaan kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa beribadah dengan tenang.

“Para Amilat akan menjaga dan mendidik anak-anak pengunjung menggunakan silibus yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Seranta Madinah Ramadan,” katanya.

Seramai 121 Amilin dan Amilat telah dipilih daripada lebih 200 permohonan dalam talian untuk menjadi sukarelawan sepanjang Ramadan ini.

Pelbagai program menarik turut disusun sepanjang Ramadan, termasuk Hari Kemenangan Palestin pada 4 Mac yang akan dihadiri oleh aktivis kemanusiaan Nadir an-Nuri, serta majlis perasmian rasmi pada 6 Mac.

Selain itu, kuliah khas selebriti oleh Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Mokhtar Yaakob akan diadakan setiap hujung minggu.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Dato’ Abdul Rahman Yunus, Timbalan Ketua Whip Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Mohd Nuri Yakob serta ahli-ahli majlis MPKB-BRI.

Post a Comment

0 Comments