SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Taman Emas Malaysia dilancarkan sebagai hab perniagaan emas dan pusat pelancongan edu-tourism pertama di negara ini.
Taman Emas Malaysia berperanan sebagai pusat ekosistem industri emas yang merangkumi pendidikan kemahiran seni kraf, galeri ilmu emas, serta ruang niaga dan pemasaran barang kemas.
Ketua Pegawai Eksekutif Empayar Iman Sdn. Bhd, Zulna Hashim berkata, pembangunan pusat itu menyasarkan industri pengeluaran barang kemas bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa.
“Sebagai pusat edu-tourism, kami menawarkan pengalaman lengkap dalam bidang seni kraf barang kemas dan menjadikan Kelantan sebagai destinasi utama dalam industri tersebut,” katanya pada pelancaran Taman Emas Malaysia di Bazar Tuan Padang di sini semalam.
Pelancaran itu turut menyaksikan perasmian Sadaqah Wall dengan kerjasama MBSB Bank dan PayNet bagi memudahkan orang ramai beramal dan bersedekah.
Turut beroperasi di Taman Emas iaitu Akademi Emas Malaysia. Ia sebuah institusi latihan seni kraf pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan standard COPTPA (TVET Accreditation).
Selain itu, MBSB Bank melalui inisiatif zakat turut menaja pelajar asnaf bagi mengikuti program latihan jangka pendek Pro Akema di Akademi Emas Malaysia.
0 Comments